IPOH – Pemilik suara rakaman audio yang didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, dijangka diumumkan minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia akan memanggil individu berkenaan untuk memberi kenyataan sebaik sahaja nama mereka diumumkan.
“Mereka yang didakwa suara di dalam rakaman audio itu, apabila dapat disahkan suara itu milik sesiapa, individu tersebut akan dipanggil untuk diambil kenyataan, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada lebih 400 anggota dan pesara polis di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini hari ini.
Pada 8 Januari lepas, SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa menjadi Perdana Menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.
Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi dan imej SPRM serta Ketua Pesuruhjayanya.
Pada 14 Januari lepas, SPRM membuat satu laporan polis terhadap beberapa individu termasuk seorang peguam yang didakwa menjadi dalang dalam komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi suruhanjaya itu Latheefa.
Menurut Latheefa laporan polis itu dibuat bagi memberi satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang di sebalik komplot bahawa beliau tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. – Bernama
Pemilik video kes Semburit Sabah tu siapa pula? Takkan sampai hari ni tak dapat disahkan pula.
Teknologi mengecam suara lebih canggih daripada mengecam pelaku dalam video tu