PUTRAJAYA – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyindir Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa melarikan diri pada tahun 2004.
Sebaliknya beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan dirinya masih setia dengan parti ketika itu biarpun PKR sedang berdepan kesukaran.
“Setiausaha Agung kata tenang, ya tenang dan tak jadi isu. Saya tetap tenang bila parti dalam keadaan susah pada 2004 dan masih dalam parti dan bina parti.
“Tapi Setiausaha Agung saya lari ketika itu. Jadi dia yang tak tenang, saya lebih tenang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bil.1/2020 dan Pelancaran Laporan Pencapaian KPKT 2019 Serta Visi dan Misi Baharu KPKT di kementeriannya di sini hari ini
Beliau diminta mengulas saranan Saifuddin agar menumpukan perhatian kepada jawapan surat tunjuk sebab berhubung ucapannya di sebuah hotel pada awal bulan lalu yang menghina Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung PKR itu turut menasihati Zuraida tidak perlu prasangka terhadap arahan itu. – MalaysiaGazette