Home Ekonomi SHH Group buka kilang proses minyak sawit keempat

SHH Group buka kilang proses minyak sawit keempat

Sin Huat Hin telah melabur kira-kira RM80 juta untuk membina semula kilang pemprosesan minyak sawit di Jalan Kampung Kuantan di Kuala Selangor.

KUALA LUMPUR  – SHH Group melalui anak syarikatnya, Sin Huat Hin Palm Oil Mill (Kuala Selangor) Sdn. Bhd.  (Sin Huat Hin) telah melabur kira-kira RM80 juta untuk membina semula kilang pemprosesan minyak sawit di Jalan Kampung Kuantan di Kuala Selangor.

Kilang itu merupakan kilang pengeluaran minyak sawit daripada buah tandan sawit (BTS) pertama bagi SHH Group selain turut memiliki tiga lagi kilang memproses minyak sawit dari isi sawit.

Satu daripada kilang berkenaan terletak di Lumut, Perak manakala dua lagi masing-masing di Kapar dan juga di Batu 14, Kapar, Selangor yang turut dijadikan ibu pejabat kumpulan.

Menurut Pengarah Sin Huat Hin, Gan Wey Kiat, selepas pengambilalihan tersebut, proses penambahbaikan dan pengubahsuaian struktur kilang terpaksa dilakukan bagi membolehkan ia meningkatkan kapasiti pengeluarannya seiring dengan penekanan teknologi hijau digunakan di kilang berkenaan.

“Kilang ini dapat menghasilkan sehingga 45 tan metrik minyak sawit mentah dalam masa satu jam.

“Kami menjangkakan kapasiti itu akan bertambah sehingga 90 tan metrik tan minyak sawit mentah sejam menjelang akhir tahun ini selepas semua sistem pemprosesan termasuk tangki pemanas dengan kapasiti lebih besar siap dipasang sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian kilang berkenaan di sini baru-baru ini.

SHH Group mengambil alih kilang tersebut pada bulan Jun 2018 daripada Kampong Kuantan Palm Oil Mill Bhd..

Menteri Industri Utama, Teresa Kok merasmikan kilang pengeluaran minyak sawit daripada buah tandan sawit pertama bagi SHH Group.

Wey Kiat berkata, penggunaan sistem air hujan bagi menambah kapasiti air bersih yang akan digunakan untuk proses memasak BTS dengan menggunakan kaedah stim merupakan antara penambahbaikan dan pembaharuan yang terdapat di kilang yang terletak dalam kawasan seluas 20 hektar itu.

Beliau menjelaskan, kolam tadahan yang dibina di kawasan kilang sebelum disedut dan disalurkan ke tangka air akan menjadi saluran air hujan yang dituai daripada takungan berkenaan di bahagian bumbung.

“Kaedah ini digunakan bagi menampung penggunaan air daripada sistem perpaipan memandangkan air banyak digunakan bagi pemprosesan minyak sawit mentah.

“Satu tan air perlu digunakan untuk memproses satu tan buah sawit segar,” ujarnya.

Selain itu, Wey Kiat menerangkan, kilang berkenaan turut menggunakan sistem ‘zero waste’ apabila hampas tandan kelapa sawit yang telah diceraikan daripada biji sawit tidak akan dibuang begitu sahaja tetapi akan digunakan sebagai bahan bakar untuk memanaskan tangka stim.

Tempurung sawit pula akan dihantar ke tiga buah kilang milik SHH Group untuk tujuan pemprosesan bagi penghasilan minyak sawit daripada isi tempurung berkenaan.

Minyak sawit yang dihasilkan di kilang berkenaan memenuhi standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang ditetapkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

MSPO merupakan pensijilan yang mengesahkan bahawa produk sawit yang dihasilkan adalah melalui kaedah yang mampan iaitu tidak mencemarkan alam sekitar, menggunakan kaedah selamat dan pelaksanaan Amalan Pertanian Baik.

SHH Group telah terlibat dalam industri berkaitan minyak sawit berskala sederhana sejak tahun 1999. – MalaysiaGazette