Home Politik Jangan rasuah, politik wang dan bermewah ketika kempen pemilihan parti – Syed...

Jangan rasuah, politik wang dan bermewah ketika kempen pemilihan parti – Syed Hamid

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar bercakap pada sidang media khas di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JANUARI 2020

PETALING JAYA – Semua calon yang bertanding dalam Majlis Kerja Tertinggi Parti, Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya berkempen secara sihat selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar menegaskan, amalan rasuah dan politik wang dilarang sekali dalam pemilihan parti kali ini bagi menjaga nama baik parti Melayu itu.

“Boleh berkempen sejajar dengan amalan demokrasi, jangan amalkan rasuah, politik wang, dilarang bermewah-mewahan dan jangan salah guna kuasa.

“Kalau kita dapati ada aduan terhadap mana-mana calon, aduan mesti kepada kita, bukan SPRM.

“Kalau kita dapati aduan itu munasabah, kita boleh tolak pencalonan orang itu dan diketepikan daripada bertanding,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Bersatu di Ibu Pejabat Bersatu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Syed Hamid mengumumkan tarikh baharu bagi persidangan dan pemilihan parti itu untuk peringkat cawangan, bahagian serta perhimpunan agung tahunan.

Menurutnya, persidangan Bersatu bagi peringkat cawangan akan bermula dari 15 Februari hingga 29 Mac 2020.

Bagi peringkat Bersatu Bahagian pula, ia dilanjutkan dari 4 April kepada 18 April 2020.

Manakala Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pula akan berlangsung pada dari 25 hingga 28 Jun 2020. – MalaysiaGazette