PULAU PINANG – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menggunakan gaya sendiri untuk menjawab soalan pemberita mengenai hubungan dua ketua parti politik itu.
Guan Eng dan Ka Siong telah melawat Kwong Wah Yit Poh sempena dengan Tahun Baharu Cina, tetapi pada hari berlainan.
Wartawan justeru mengambil peluang yang ada untuk bertanya sama ada wujud kasih sayang dalam hubungan permusuhan politik mereka.
Menjawab pertanyaan itu, Ka Siong berkata, kasihnya merangkumi semua orang termasuk Guan Eng, walaupun mengakui kasih itu mungkin tidak dibalas.
“Saya mempunyai kasih terhadap semua orang termasuk Guan Eng, cumanya Guan Eng yang membenci saya,” katanya.
Ditanya soalan yang sama, Guan Eng berkata, kasih daripada Ka Siong adalah kasih hipokrit.
“Kalau dia cakap sayang saya, boleh ke percaya kasih dia ini? Janganlah hipokrit sangat.
” Saya juga boleh memilih katakan saya sayang Ka Siong dan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak). Tetapi susahlah nak keluar dari mulut. Ini terlalu hipokrit,” katanya. – MalaysiaGazette