DAVOS – Presiden Donald Trump tidak menyifatkan kecederaan traumatik otak yang dialami oleh 11 tenteranya dalam serangan Iran di pangkalannya di Iraq adalah serius.
Kecederaan itu dilaporkan berlaku akibat gegaran.
Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, Komando Pusat Amerika Syarikat (AS) mengatakan lebih banyak tentera telah diterbangkan dari Iraq ke Jerman untuk penilaian perubatan ekoran serangan peluru berpandu Iran pada 8 Januari di pangkalan.
Kecederaan lebih lanjut mungkin dikenalpasti tidak lama lagi tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Seorang pegawai AS yang enggan namanya disiarkan berkata, kira-kira sedozen tentera sedang diangkut ke Jerman.
Trump dan pegawai tertinggi lain pada mulanya mengatakan serangan Iran tidak membunuh atau mencederakan mana-mana askar AS sebelum Pentagon memberi kenyataan sebaliknya dengan mengatakan 11 tentera AS telah dirawat selepas serangan di pangkalan udara Ain al-Asad di barat Iraq .
Namun Trump enggan mengulas perkara tersebut.
“Saya dengar mereka mengalami sakit kepala dan beberapa perkara lain, tetapi saya boleh menyatakan ia tidak begitu serius,” kata Trump pada sidang akhbar di Davos, Switzerland.
Ditanya sama ada beliau menganggap kecederaan otak yang dialami oleh askar-askar berkenaan adalah serius, Trump berkata: “Mereka memberitahu saya kira-kira beberapa hari kemudian. Anda perlu bertanya kepada Jabatan Pertahanan”.
Pegawai Pentagon mengatakan pihaknya tidak ada rancangan untuk menangguhkan maklumat mengenai kecederaan akibat gegaran itu.
Tetapi tindakan Pentagon itu telah menimbulkan persoalan mengenai dasar ketenteraan AS – bagaimana ia mengendalikan kecederaan otak ke atas askar-askarnya.
Walaupun tentera AS perlu segera melaporkan insiden yang mengancam kehidupan, anggota badan atau penglihatan, ia tidak mempunyai keperluan mendesak untuk berbuat demikian kerana kecederaan traumatik otak atau TBI mengambil masa untuk dibuktikan dan diagnosis.
Menurut data Pentagon, kira-kira 408,000 anggota perkhidmatan telah didiagnosis dengan kecederaan otak traumatik sejak tahun 2000.
“Saya tidak menganggap mereka mengalami kecederaan serius berbanding kecederaan lain yang saya lihat. Saya telah melihat orang yang tidak mempunyai kaki dan tangan,” kata Trump.
Di Washington, pegawai kanan tentera berkata, jumlah askar AS yang keluar dari Iraq adalah ‘berbelas’ sahaja. – MalaysiaGazette