KUALA LUMPUR – Pembatalan cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) yang sepatutnya dilaksanakan Jun ini merupakan hasil desakan rakyat Sabah yang menolak dokumen khas untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Sabtu lalu juga suara rakyat Sabah menolak PSS.
“Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah dan Barisan jemaah Negeri Sabah yang telah membatalkan PSS.
“Ia merupakan hasil daripada desakan rakyat Sabah yang merasakan PSS tidak harus dilaksanakan di Sabah.
“Langkah yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Sabah amat dialu-alukan dan menjadi semak dan imbang terhadap kemenangan Datuk Mohamad Alamin di Kimanis.
“Ia adalah satu manifestasi bahawa suara rakyat yang menolak PSS ini turut didengar oleh Kerajaan Negeri Sabah,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Kongres India Muslim (KIMMA) di sini hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk membatalkan pelaksanaan PSS.
Mohd Shafie berkata keputusan itu dibuat selepas Warisan tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang memberi isyarat rakyat menolak pelaksanaan pas berkenaan.
Pada 6 September tahun lalu, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan PSS yang akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun ini.
Keputusan kerajaan untuk melaksanakan PSS dibuat berdasarkan saranan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing pada 6 Sept 2019.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berkata pembatalan dokumen PATI itu membuktikan perkara itu tidak pernah dicadang dilaksanakan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai PATI di Sabah.
“Ketika Tan Sri Musa Aman selaku Ketua Menteri Sabah ketika itu dan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan bersama mesyuarat Jawatankuasa Induk RCI Pati Sabah ini, tidak pernah mencadangkan bahawa PSS dilaksanakan di Sabah.
“Malah apabila Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal untuk membuat rumusan terhadap kajian-kajian itu juga tidak mendapati pun satu minit mesyuarat atau sebarang cadangan untuk mewujudkan PSS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette