KUALA LUMPUR – Undang-undang adalah cinta pertamanya.
Malah beberapa hari lalu ketika sedang menonton berita berkenaan undang-undang di televisyen allahyarham sempat memberi ulasan mengenai perkara tersebut.
Menurut Liyana Khairul Azman, semangat dan cinta datuknya, allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman terhadap bidang undang-undang sentiasa menjadi inspirasi buat anak dan cucunya.
“Allahyarham sangat kuat bekerja tidak kiralah sama ada sebagai Pengarah Urusan MAS mahupun selepas bersara dan terlibat dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO).
“Tetapi cintanya pada bidang undang-undang sangat luar biasa. Kami selalu katakan, mungkin itu cinta pertamanya.
“Malah sebelum kesihatannya merosot teruk beberapa bulan lalu, allahyarham masih pergi ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bekas Pengarah Urusan MAS itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.40 malam tadi di Hospital Gleanegles, Ampang kerana komplikasi kesihatan.
Allahyarham disahkan menghidap kanser esofagus sejak Disember 2018.
Bagaimanapun menurut Liyana, allahyarham yang terkenal sebagai seorang yang tenang itu tetap menjalani kehidupan seperti biasa meskipun telah didiagnosa penyakit tersebut lebih setahun lalu.
“Betul, jika anda kata anda ada berjumpa allahyarham tahun lepas kerana beliau tetap menjalani kehidupan biasa. Tiada perubahan apa-apa.
“Allahyarham tetap bekerja seperti biasa, pergi ke mahkamah, aktif dalam NGO dan tidak pernah meninggalkan solat subuh berjemaah di masjid ini (Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara) setiap hari sehinggalah keadaan kesihatannya makin merosot beberapa bulan lepas.
“Allahyarham banyak menghabiskan masa di rumah dan hanya dimasukkan ke hospital jika perlu sahaja.
“Pemergiannya sangat pantas, kami sendiri tidak menyangka kerana ingatkan sakit biasa kerana sebelum ini allahyarham sangat tenang dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda.
“Allahyarham suka bermain dengan cicitnya yang berusia tiga tahun,” katanya lagi.
Menurut Liyana, allahyarham dimasukkan ke hospital malam tadi kerana sesak nafas dan berlaku pendarahan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir beberapa jam selepas dimasukkan ke hospital di hadapan isterinya Puan Seri Wan Zakiah Ibrahim serta beberapa ahli keluarga lain termasuk anak dan adiknya.
Abdul Aziz meninggalkan seorang balu, empat orang anak, enam cucu dan seorang cicit. -MalaysiaGazette