KUALA LUMPUR – Kenyataan Lim Guan Eng yang Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menetapkan tarikh untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim diragui.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia kerana keluar dari mulut Setiausaha Agung DAP bukan Perdana Menteri sendiri.
“Betul ke Dr Mahathir setuju? Itu kata Guan Eng tapi Dr Mahathir belum buat pengumuman lagi. Setahu saya pengumuman terakhir adalah selepas APEC 2020. Jadi, bulan Mei belum lagi.
“Tetapi mungkin dia sudah beritahu Guan Eng, itu kita tidak tahu. Kita tidak terlibat daripada segi bila peralihan kuasa antara mereka,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Guan Eng yang juga Menteri Kewangan semalam memaklumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan membuat keputusan dan mengumumkan tarikh penyerahan kuasa pada masa yang “sesuai”.
Beliau turut berkata, Mahathir juga telah menetapkan garis masa untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Menurut Ismail, pembangkang tidak ambil pusing mengenai penyerahan kuasa berkenaan kerana tidak ada kena mengena dengan Barisan Nasional (BN).
Bagi BN, katanya, siapa pun yang jadi perdana menteri, mereka adalah pembangkang.
“Mana yang tidak betul, kita akan bangkang. Tidak kira siapa pun yang jadi perdana menteri.
“Kalau sudah ada tarikh baguslah. Sekurang-kurangnya kita tahu bila peralihan kuasa,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mengenai kadar tol, Ismail Sabri berkata, tuduhan wakil rakyat DAP itu tidak benar sama sekali.
Menurut beliau, BN semasa dalam kuasa telah memansuhkan beberapa tol antaranya tol Batu Tiga, Plaza Tol Sungai Rasau di Selangor; Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) di Johor pada 2018.
“Kita tidak pernah naikkan tol dan kita telah batalkan beberapa tol terutamanya tol Shah Alam. Kita batalkan, tak bayar terus.
“Bukannya turunkan dari segi bayaran, saya ingat zaman pemerintahan Datuk Seri Najib (Razak) enam atau tujuh tol kita batalkan dari segi pembayaran. Sekarang satu pun tidak ada, walaupun janji PH nak hapuskan tol. Cuma yang mampu mereka lakukan hari ini adalah kurangkan tol.
“Tony Pua tidak payah cakaplah, kalau betul nak bercakap, dia umumkan hapuskan tol sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto,” katanya lagi.
Tony yang juga Setiausaha Politik Guan Eng itu berkata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah pentadbiran Barisan Nasional, konsesi telah dilanjutkan beberapa kali namun kadar tol tidak pernah diturunkan malah akan dinaikkan setiap tiga tahun mengikut perjanjian. -MalaysiaGazette