Home Nasional Perginya seorang pejuang

Perginya seorang pejuang

Ahli keluarga dan kenalan terdekat mengusung jenazah bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR- Pemergian Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman merupakan satu kehilangan besar kepada bangsa dan negara.

Semasa hidupnya, allahyarham memang terkenal sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd. (MAS) yang hebat sehingga mampu membawa syarikat penerbangan kebangsaan itu menjadi sebuah jenama antarabangsa yang terkenal di seluruh dunia.

Ahli keluarga dan kenalan terdekat yang hadir bagi menziarahi Jenazah bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman di kediamannya, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2020.

Tiada siapa yang boleh menafikan MAS amat cemerlang di tangannya malah sehingga ke hari ini, selepas hampir 30 tahun bersara daripada syarikat penerbangan tersebut, masih ramai yang menghormati ketokohan beliau dalam bidang korporat.

Tetapi jasa allahyarham bukan setakat itu sahaja, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu merupakan seorang pengamal undang-undang yang meskipun telah bersara dari bidang korporat terus aktif sebagai peguam di samping melibatkan diri dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang berkaitan bangsa Melayu dan agama Islam

Buah fikirannya sering dijadikan rujukan oleh pelbagai golongan dan disiarkan di media-media massa.

Abang, Tan Sri Rashid Rahman menyiram air mawar pada pusara adiknya, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman di Tanah Perkuburan Bukita Kiara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2020.

Bagi veteran politik, Tan Sri Lee Lam Thye, kematian allahyarham Abdul Aziz adalah satu kehilangan besar kepada negara terutamanya sektor penerbangan.

Beliau yang mengenali Abdul Aziz sejak allahyarham masih memegang jawatan Pengarah Urusan MAS berkata, ketokohan yang dimiliki olehnya sangat luar biasa.

Ahli keluarga dan kenalan terdekat mengusung jenazah bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2020.

“Sehingga kini, ramai kakitangan MAS yang saya kenal masih menghormati allahyarham dan mengakui beliau telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada MAS.

“Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada industri penerbangan,” katanya ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham di sini.

Dalam pada itu, Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md. Ali menyifatkan allahyarham adalah seorang pejuang sejati.

Lulusan undang-undang daripada Lincoln’s Inn itu, menurut beliau, adalah seorang yang sangat berani dan berpegang kepada prinsip kebenaran.

Anak, Datin Anita Azrina Abdul Aziz (tengah) bersama ahli keluarga menabur bunga mawar keatas pusara ayahnya, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman di Tanah Perkuburan Bukita Kiara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JANUARI 2020.

“Kami bersahabat meskipun jarak usia kami berbeza 17 hingga 18 tahun tetapi kami sama-sama kariah di masjid ini, solat bersama-sama di sini dan sering berbincang serta bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai isu.

“Pada saya, allahyarham adalah seorang pejuang, beliau telah buktikan kejayaan dalam bidang korporat apabila menerajui MAS.

“Di arena lain pula, kita tahu allahyarham sangat aktif dalam NGO dan tegas mempertahankan Islam dan sebagainya.

“Beliau juga sering ke hadapan dalam bidang undang-undang yang mana sering menjadi inspirasi kepada peguam-peguam muda,” katanya.

Allahyarham Abdul Aziz yang meninggal dunia jam 11.40 malam tadi di Hospital Gleanegles, Ampang akibat komplikasi kesihatan, menderita akibat kanser esofagus sejak setahun lalu.

Jenazahnya dibawa ke Masjid Saidina Umar Al-Khattab untuk dimandi, dikafan dan disolatkan yang mana lebih 1,000 orang menyertai solat jenazah yang diadakan selepas solat zohor itu.

Masjid yang terletak berhampiran kediaman allahyarham itu menurut cucunya, Liyana Khairul Azman adalah satu-satunya tempat yang wajib dikunjungi oleh allahyarham untuk bersolat subuh berjemaah setiap hari.

“Allahyarham datang ke masjid ini setiap pagi untuk bersolat subuh berjemaah, tanpa gagal,” katanya kepada pemberita di sini.

Jenazah allahyarham kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Wan Zakiah Ibrahim, empat anak, enam cucu dan seorang cicit. – MalaysiaGazette