Home Politik Pohon YDPA campur tangan, halang ‘kegilaan’ rebut jawatan PM

Pohon YDPA campur tangan, halang ‘kegilaan’ rebut jawatan PM

Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii
Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Yang Dipertuan Agong (YDPA) dimohon campur tangan dalam pentadbiran negara yang kini sedang bergelut dengan kegilaan pemimpin tertentu yang berebut jawatan Perdana Menteri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menegaskan, sekiranya perebutan jawatan itu tidak dibendung ia kelak akan menjejaskan kestabilan negara.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, Malaysia tidak akan dapat ditadbir dengan baik, rakyat sudah merasai kegawatan ekonomi, perut mereka lapar.

“Peranan DYMM Agong untuk campur tangan di dalam menentukan negara ini lebih terjamin kerana kerajaan yang ada hari ini tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

“Patik dan rakyat jelata memohon campur tangan DYMM Seri Paduka Baginda untuk menghentikan kegilaan ini bagi menjamin kestabilan dan keharmonian Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Razlan, kegilaan kumpulan tertentu dalam PKR dan DAP untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri memberi persepsi buruk menyebabkan pelabur asing takut untuk melabur di dalam negara.

“Dari awal pemerintahan sehingga hari ini, tekanan demi tekanan di antara kepimpinan menyebabkan rakyat diheret dengan dasar-dasar ciptaan sebahagian pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak berperlembagaan.

“Bukan hanya ekonomi tidak terurus, kepentingan Melayu dan Bumiputera juga menjadi polimik yang membawa kepada huru-hara di antara hubungan kaum,” katanya.

Dakwanya, bukti jelas dapat dilihat apabila kerajaan India tidak mahu berunding di Davos, malah ia pertama kali dalam sejarah sebuah negara menolak pelawaan Malaysia untuk berbincang.

“Jepun melalui berita Nikkie melaporkan Malaysia tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam ekonomi, malah Jepun sanggup melabur di Indonesia bagi pulangan yang lebih terjamin.

“Sekiranya keadaan ini terus berlaku, negara kita hancur kerana kegagalan menteri-menteri PH serta dasar luar tidak diplomatik dan sering mencari gaduh dengan negara yang mempunyai kepentingan ekonomi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette