KUALA LUMPUR – Semua rakyat Malaysia yang ingin membuat perjalanan ke Wuhan China dinasihat agar menangguhkan niat mereka ekoran penukaran coronavirus yang dilaporkan berlaku di luar wilayah itu.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, ia susulan keputusan pihak berkuasa China untuk menangguhkan perjalanan keluar dari Wuhan yang berkuat kuasa hari ini.
“Memandangkan perkembangan ini, Kementerian ingin memberi nasihat kepada rakyat Malaysia untuk menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke Wuhan dan kawasan lain yang mungkin terjejas oleh coronavirus.
“Rakyat Malaysia yang menetap atau mengembara di kawasan yang terjejas adalah dinasihatkan supaya memberikan keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan diri mereka dengan mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” kata Wisma Putra dalam kenyatanya hari ini
Gesaan itu seiring dengan keputusan yang diambil oleh beberapa syarikat penerbangan untuk menangguhkan penerbangan mereka ke dan dari Wuhan bermula dari hari Khamis, 23 Januari 2020 sehingga notis selanjutnya.
Untuk rekod, lebih 500 telah dijangkiti dengan 17 kematian dicatatkan setakat ini di China. – MalaysiaGazette