KUALA LUMPUR – UMNO secara jelas tidak mempersoalkan tujuan sebenar pertemuan antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.
Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Pas mempunyai hak untuk bertemu sesiapa kerana kerjasama kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional hanyalah kerjasama biasa dan bukannya berdasarkan gabungan kedua-dua parti.
“Saya tidak tahu kalau Hadi beritahu Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) saya tidak tahu. Tapi itu hak Pas nak jumpa dengan sesiapa pun.
“Kalau mereka jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad misalnya, itu adalah keputusan dalam parti. Isu dalaman parti adalah hak mereka.
“Tidak timbul mengapa UMNO tidak terlibat dalam pertemuan itu. Mungkin satu hari UMNO pula buat perjumpaan dengan sesiapa sahaja. Itu keputusan UMNO,” katanya di pejabat beliau, hari ini.