KUALA LUMPUR – Maybank, Public Bank dan RHB Banking GroupĀ mengumumkan penurunan kadar asas (BR) dan kadar pinjaman asas (BLR) sebanyak 25 mata asas berikutan pelan Bank Negara Malaysia memotong kadar dasar semalaman.
Maybank dalam satu kenyataan berkata, ia akan mengurangkan BR dan BLR sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa hari ini, masing-masing kepada 2.75 peratus setahun dan 6.40 peratus setahun.
Pemberi pinjaman yang terbesar di negara ini turut memberitahu, BR dan BLR Islam akan diturunkan sebanyak 25 mata asas, masing-masing kepada 2.75 peratus dan kepada 6.40 peratus.
“Selaras dengan semakan itu, kadar deposit Maybank juga akan dikurangkan sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa pada hari yang sama. Semakan terakhir dalam BR Maybank adalah pada 17 Mei 2019, apabila ia disemak semula kepada 3.00 peratus daripada 3.25 peratus,” katanya.
Public Bank Bhd dan Public Islamic Bank dalam satu kenyataan berasingan turut mengumumkan pemotongan 25 mata asas dalam BR dan BLR berkuat kuasa Selasa depan (28 Jan), dengan kadar deposit tetap dilaraskan sebanyak 0.25 peratus.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, memandangkan persekitaran operasi yang mencabar ini, pengurangan BR Public Bank adalah tepat pada masanya untuk meringankan beban peminjam dan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Public Bank akan terus menguruskan aset dan liabiliti secara proaktif bagi memastikan kadar faedah adalah munasabah bagi manfaat para pelanggannya,” katanya.
Sementara itu, menurut RHB Banking Group, BR dan BLR kumpulan itu akan dikurangkan sebanyak 25 mata asas mulai Rabu depan (29 Jan).
Bank itu dalam satu kenyataan menjelaskan RHB Bank, RHB Islamic Bank dan RHB Investment Bank akan memotong BR dan BLR kepada 3.50 peratus setahun dan 6.45 peratus setahun. Kadar deposit tetap RHB Bank juga akan jatuh sebanyak 25 mata asas selaras dengan semakan tersebut.
Hong Leong Bank Bhd dan Hong Leong Islamic Bank Bhd juga akan mengurangkan kadar asas sebanyak 25 mata asas kepada 3.63 peratus berkuat kuasa Jumaat minggu depan (31 Jan).
“Begitu juga, pinjaman dan pembiayaan berasaskan BLR serta kadar pembiayaan Islam akan diturunkan kepada 6.64 peratus berbanding 6.89 peratus. Kadar deposit tetap akan disemak semula untuk menjadi lebih rendah sebanyak 25 mata asas,” kata kumpulan itu. – MalaysiaGazette