Home Politik Nampaknya budaya samseng menyelubungi AMK Malaysia

Nampaknya budaya samseng menyelubungi AMK Malaysia

KUALA LUMPUR – Sejak berpeluang memerintah dan menjadi kerajaan nampaknya segelintir pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah sudah lari daripada landasan perjuangan asal reformasi.

Malah apa yang dilihat ketika ini golongan muda dalam PKR mempunyai idealisme cukup berbeza sejak era 1998.

Itulah luahan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Muhammad Faiz Abd Majid kepada MalaysiaGazette yang bimbang dengan keadaan politik semasa parti itu sejak akhir-akhir ini.

“Zaman berubah dan perjuangan juga dilihat telah tiada sinar ‘reformasi’ seperti yang menjadi laungan dan ikutan oleh tokoh-tokoh PKR ketika itu, antaranya seperti Ezam, Syamsul Iskandar dan yang lain-lain.

“Ketika itu sungguh jelas terang lagi bersuluh melihat perjuangan mereka idea dan akal, adakah ianya kerana ketika itu mereka dikelilingi oleh anak muda yang begitu ikhlas berjuang?

“Malah pada masa itu, semua mereka sungguh kental walaupun menghadapi cabaran pelbagai rupa dengan ugutan segala macam.

“Tapi sayang sekali, kini senario itu sudah berubah wajah dan nada.

“Sejak PKR diberi peluang memerintah, naratif serta sikap AMK kini jauh dari landasan ‘reformasi’. Sikap samseng parti UMNO telah dibawa ke dalam susuk atau buku teks AMK.

“Saya seperti melihat beberapa siri serangan demi serangan seperti dendam UMNO masih lagi melekat dalam dada segelintir terhadap beberapa pimpinan yang telah banyak membawa perubahan kepada lanskap politik negara,” katanya hari ini.

Muhammad Faiz merujuk kepada beberapa siri serangan yang dilancarkan secara terbuka terhadap pemimpin kerajaan seperti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Timbalan Presiden PKR.

Jelas Muhammad Faiz, selain Tun Mahathir dan Mohamed Azmin, juga menjadi sasaran serangan ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan juga Timbalan Presiden PKR, Tian Chua.

“Persoalan yang timbul dikalangan masyarakat apakah sayap ini digunakan untuk agenda serta kerja lain? Jika ini terus berlarutan kita akan lihat satu senario politik yang menghalalkan sikap samseng bertaraf rendah pada masa kelak.

“Sebenarnya, AMK perlu terus membawa wadah reformasi dengan membantu rakyat dan membawa idea-idea baharu.

“Saya yakin jika presiden terus menerus mendiamkan diri atas kerja menghina pimpinan yang lain ianya akan menjadi sebuah barah dan saya tidak nafikan pastinya rakyat secara umum akan menghukum kita pada pilihan raya umum kelak kerana rata-rata sudah muak.

“Kepada menteri yang bekerja keras tidak kira apa sahaja cabaran terpaksa dilalui, saya ingin ucapkan tahniah dan teruskan usaha murni anda demi rakyat. Warnai politik ini dengan idealisme membangun bersama rakyat bukannya retorik samseng,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. itu pun kalau boleh diberi nasihat. kalau rasa dah berkuasa dan dah cerdik tak boleh ditegur. tunggu lah masa akan dipulau rakyat.

Comments are closed.