KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 yang berlangsung di Menara PGRM, Cheras di sini hari ini.
Perdana Menteri yang mengenakan kemeja merah tiba pukul 10.56 pagi dengan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali.
Majlis rumah terbuka itu adalah anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang turut dihadiri presidennya, Datuk Dr Dominic Lau.
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamsidar Taharin.
Sejurus tiba, Mahathir dibawa ke meja makan utama dan kemudian bersama tetamu kehormat lain menggaul yee sang selaku acara tradisi masyarakat Tionghua yang melambangkan nasib baik, kemakmuran dan kebaikan.
Kira-kira 1,000 pengunjung dan orang ramai merangkumi pelbagai kaum memenuhi pekarangan bangunan untuk sama meraikan perayaan yang sama.
Pada majlis itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional pelbagai kaum. – MalaysiaGazette