KUALA LUMPUR – Kanak-kanak warga China yang dibawa keluar oleh ibu bapanya tanpa kebenaran hospital semalam sedang dirawat semula di hospital dan keadaannya stabil.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak yang disyaki dijangkiti koronavirus itu masih menunggu keputusan makmal.
“Dalam kejadian awal pagi 26 Januari 2020, pihak polis telah membantu pihak KKM mengesan seorang kanak-kanak yang telah dibawa keluar oleh keluarganya dari sebuah hospital di Johor tanpa kebenaran pihak hospital.
“Kes telah berjaya dibawa kembali ke hospital berkenaan dan kini berada dalam keadaan stabil dan masih menunggu keputusan makmal. KKM mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kerjasama pihak polis ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Artikel berkaitan: Pesakit dengan simptom koronavirus dibawa ‘lari’ dari kuarantin
Dr Noor Hisham turut menyarankan kepada orang ramai yang bercadang mengunjungi negara China agar menangguhkan perjalanan mereka kecuali untuk urusan penting yang tidak boleh dielakkan.
Orang ramai khususnya para pengembara semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia disarankan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:
• Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;
• Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta hand sanitizer untuk digunakan apabila perlu semasa dalam tempoh lawatan;
• Elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala semasa dalam tempoh lawatan;
• Elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh
sebarang jenis haiwan semasa dalam tempoh lawatan; dan
• Elakkan dari memakan sebarang produk haiwan mentah/tidak dimasak dengan sempurna semasa dalam tempoh lawatan.
Tambahnya, segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut.
“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini situasi jangkitan 2019-nCoV dari semasa ke semasa.
“Orang ramai diminta untuk mendapatkan maklumat yang sahih dari pihak berkuasa dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu bagi mengelakkan keresahan dan kerisauan masyarakat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette