KUALA LUMPUR – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas dianggap sebagai ‘last bullet’ (peluru terakhir) untuk merangsang ekonomi pada masa ini walaupun ia adalah tindakan tidak popular.
Penurunan terakhir dilakukan pada 7 Mei 2019 iaitu dari 3.25 peratus kepada 3.00 peratus. Kemudian, ia diturunkan lagi sehingga paras 2.75 peratus minggu lepas dan merupakan kadar paling rendah sejak tahun 2011.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, setiap pergerakan mata OPR memberi implikasi ekonomi sama ada makro atau mikro.
“Sudah tentu pergerakan tersebut juga didorong pelbagai faktor ekonomi domestik dan antarabangsa dan kali ini penurunan OPR disebabkan oleh kelembapan pertumbuhan ekonomi global, kemerosotan sektor komoditi dan penjajaran semula trajektori ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Malaysia yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka bergantung kepada hasil perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Namun, krisis politik di rantau Timur Tengah, ketegangan protes masyarakat sivil di beberapa negara membangun seperti Hong Kong dan India, pengakhiran Brexit, kemeruapan agresif harga komoditi dan kebimbangan terhadap ancaman alam sekitar memerlukan kepada satu momentum baharu.
Tidak dilupakan juga kesan penularan koronavirus yang mendatangkan kesan tidak sedikit kepada perkembangan ekonomi negara China, justeru, dasar pengembangan monetari perlu diambil untuk terus merangsang penggunaan dan pelaburan swasta, katanya.
“Keputusan BNM itu secara tidak langsung membolehkan rakyat meramalkan kedudukan ekonomi suku keempat dan keseluruhan tahun 2019 terjejas daripada anggaran awal.
“BNM dilihat terus mengambil langkah pre-emptif untuk merangsang semula ekonomi. OPR bertindak sebagai pengimbang ekonomi,” ujarnya.
Pinjaman bank dengan bank dikenakan kadar faedah yang ditentukan oleh BNM atau spesifiknya Jawatankuasa Polisi Monetari turut memberi kesan kepada kadar faedah atau kadar keuntungan bank bagi mengawal kerugian.
Banyak bank telah mengambil langkah mengurangkan kadar faedah asas (BR) pinjaman dan kadar faedah atau keuntungan simpanan tetap.
CIMB, Maybank, RHB, Public Bank telah mengambil tindakan susulan paling awal pada 23 Januari dan akhir bulan ini.
Secara umumnya, penurunan kadar faedah atau keuntungan akan mengurangkan kos pinjaman atau pembiayaan pelanggan dan merangsang prospek permohonan pinjaman atau pembiayaan baharu.
Satu sisi lain menunjukkan pendedahan bank kepada risiko lebih tinggi disebabkan jumlah ‘proportion’ besar pinjaman atau pembiayaan menerusi rejim kadar faedah apungan.
Selain itu, saham-saham institusi perbankan di Bursa Malaysia turut terkesan dengan pengumuman penurunan OPR pada 23 Januari.
Contohnya, saham RHB turun 3 sen, Maybank turun 4 sen dan CIMB turun 10 sen. Sudah tentu dalam jangka masa pendek, anggaran keuntungan bank akan terjejas sebelum kembali normal selepas fasa pembetulan.
Manakala Indeks Kewangan Bursa Malaysia mencatatkan kerugian 1.37 peratus (210.43 mata) kepada 15,114.96 mata.
Pada masa yang sama, purata inflasi pada tahun 2019 ialah 0.7 peratus.
Walau bagaimanapun, unjuran tahun 2020 akan menokok sekitar 2.0 peratus bergantung juga kepada harga minyak dan komoditi global.
BNM menyifatkan kenaikan tersebut masih stabil, kekal sederhana serta ia memberi cerminan sebenar kepada aktiviti ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.
Sementara penurunan OPR dilihat sebagai taruhan besar untuk menyokong ekonomi negara menerusi aktiviti penggunaan swasta yang masih kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
Oleh itu, Ahmad Fadhli berharap penurunan OPR ini berjaya meransang dan merancakkan aktiviti ekonomi, sekali gus membantu negara mengharungi detik-detik mencabar pada hari ini. – MalaysiaGazette