Home Nasional Keputusan Anwar bukan sahaja pelik dan bercanggah malah… – Haniff Khatri

Keputusan Anwar bukan sahaja pelik dan bercanggah malah… – Haniff Khatri

Peguam, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdullah bersama Muhammad Yusoff Rawther selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Peguam Haniff Khatri Abdullah menyifatkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan niat untuk menyaman Muhammad Yusoff Rawther bukan sahaja pelik dan bercanggah malah tidak disokong mana-mana alasan yang dinyatakan peguamnya, Ramkarpal Singh.

Ramkarpal sebelum ini memberitahu Presiden PKR itu tidak meneruskan saman fitnah terhadap bekas pembantu penyelidiknya kerana nama baik Anwar telah dibersihkan oleh Peguam Cara Negara.

Selain itu, kata Ramkarpal, beliau telah menasihatkan anak guamnya itu supaya berbuat demikian berikutan satu saman lain yang difailkan oleh setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terhadap Yusoff Jumaat lepas.

Artikel berkaitan: Anwar tak jadi saman Yusoff Rawther?

Mengulas perkembangan terbaharu itu, peguam Mohamed Haniff Khatri berkata, keputusan Peguam Cara Negara tidak mengambil pertuduhan jenayah berhubung aduan Yusoff Rawther berkaitan salah laku seksual itu tidak dari segi undang-undang bermaksud nama baik Anwar itu kononnya telah dibersihkan.

Artikel berkaitan: Nama Anwar sudah dibersihkan, buat apa lagi saman

Ini kerana, kata peguam Yusoff Rawther itu, satu-satunya institusi yang boleh membersihkan nama mana-mana pihak adalah mahkamah sahaja.

Mengenai saman yang difailkan oleh Farhash terhadap Yusoff Rawther, Haniff berkata, saman tersebut belum diserahkan kepada anak guamnya dan jika pun ada, ia tiada kaitan dan tidak boleh di sisi undang-undang diterima sebagai tindakan yang diambil oleh Anwar yang telah mengesahkan penarikan balik niat dan hasrat untuk menyaman Yusoff.

Artikel berkaitan: Keterangan bercanggah: Haniff minta Peguam Cara Negara beri penjelasan

Katanya, sehingga kini, Yusoff Rawther masih konsisten dan berhasrat untuk mengambil tindakan yang wajar dan berpadanan kelak berhubung dakwaan salah laku seksual oleh Anwar terhadapnya  sepertimana yang dibenarkan di sisi undang-undang, dan seperti yang ditegaskan dalam sidang akhbar pada 17 Januari lalu.

Artikel berkaitan: “Anwar nak saman saya? Teruskan” – Yusoff Rawther

“Namun antara lain tertakluk kepada penerimaan balasan daripada Peguam Cara Negara berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh Yusoff Rawther seperti yang terkandung dalam surat kami bertarikh 16 Januari lalu yang masih belum memperolehi balasan,” kata dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Katanya, di pihak Yusoff Rawther akan memberikan perkembangan berhubung tindakan lanjut dalam masa yang terdekat kelak. – MalaysiaGazette