Home Nasional Polis, SKMM ambil tindakan tegas penyebar berita palsu koronavirus

Polis, SKMM ambil tindakan tegas penyebar berita palsu koronavirus

Seramai 18,154 individu yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disaring untuk Covid-19 dari 10 Jun hingga 12 Julai lalu.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggung jawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih berhubung penularan Novel coronavirus (2019-nCov) di Malaysia.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran awam serta menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada kestabilan negara.

“Pemantauan oleh PDRM dan SKMM mendapati media sosial dan pesanan dalam talian telah menjadi satu platform utama bagi penularan berita palsu mengenai Novel coronavirus (2019-nCoV).

“Penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga  dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Pendakwaan turut boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

“PDRM dan SKMM telah mengenalpasti empat individu untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan dengan Novel coronavirus (2019-nCoV).

“Orang awam digesa supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita mengenai Novel coronavirus (2019-nCoV) sebelum mempercayai atau menyebarkannya, terutamanya maklumat yang dikeluarkan oleh pihak selain daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata kenyataan bersama PDRM dan SKMM di sini.

Tambahnya, orang ramai boleh merujuk  sumber rasmi KKM (www.moh.gov.my/) atau badan kesihatan antarabangsa (https://www.who.int/) bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai Novel coronavirus (2019- nCoV). – MalaysiaGazette