Home Nasional 134 pembantu guru rayu sambung kontrak

134 pembantu guru rayu sambung kontrak

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock bercakap pada sidang media mengenai isu Perkhidamatan Pembantu Guru dan Pembantu Tadbir Rintis di Wisma NUTP, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri digesa mempertimbangkan rayuan seramai 134 pekerja sambilan harian (PSH) atau lebih dikenali sebagai pembantu guru di sekolah untuk mendapatkan lanjutan perkhidmatan selama setahun lagi.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, ia bagi membolehkan pembantu guru itu mendapat peluang pekerjaan sebelum ditamatkan perkhidmatan.

“Pihak NUTP merayu Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap pemangku Menteri Pendidikan memberi pertimbangan kemanusiaan agar mereka diberi soft landing tempoh perkhidmatan mereka.

“Tempoh perkhidmatan mereka telah ditamatkan pada 30 November 2019. Jawatan pembantu guru telah wujud tetapi mendapat perhatian,” katanya pada sidang media di Wisma NUTPĀ  hari ini.

Jawatan pembantu guru atau pembantu tadbir rintis diperkenalkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi menteri pendidikan pada tahun 2012.

Ketika itu jawatan itu diletakkan di bawah Program Pelaksanaan Rintis Strategi Lautan Biru (NBOS) – Pemantapan Profesion Guru.

Melaka merupakan negeri rintis pertama yang menjalankan program itu dan diikuti oleh Kedah untuk melihat keberkesanan jawatan itu dalam membantu mengurangkan beban guru.

Menurut Harry, jawatan PT Rintis lantikan pada 2012 telah dikontrakkan untuk tempoh setahun dan PT NBOS masih dikekalkan sebagai pekerja sambilan harian secara lantikan setiap tiga bulan.

“Setelah beberapa kali rayuan dikemukakan, PT Rintis menerima perkhabaran gembira apabila kontrak mereka dilanjutkan yang tamat pada 30 Jun 2018 disambung sehingga 30 November 2019.

“Namun amat mengecewakan apabila dimaklumkan jawatan tersebut tidak akan disambung lagi bagi tahun 2020,” katanya.

Sehubungan itu, Harry berharap kerajaan dapat menyerap mereka terbabit dalam perkhidmatan tetap sebagai pembantu pengajar bagi mengurangkan beban guru.

“Semua pembantu tadbir dan pembantu guru itu telah diberi pendedahan dan latihan berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab.

“Mereka juga telah diberi penerangan mengenai aplikasi yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan seperti APDM, EMIS, e-Operasi, SPLG dan HRMIS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette