Home Akhbar Cina Harga bawang gambar cabaran ekonomi

Harga bawang gambar cabaran ekonomi

Namun malangnya, kesan tersebut terbukti tidak mampu bertahan lama.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Kalau dulu kita menitis air mata semasa menghiris bawang, kini melihat harga bawang sahaja sudah cukup menyebabkan kita menangis.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong telah menggunakan keadaan harga bawang untuk menggambarkan cabaran ekonomi negara pada masa ini.

Beliau berkata, walaupun pelbagai masalah sedang membelenggu Malaysia, termasuk ketidakpastian mengenai jawatan Perdana Menteri, tetapi yang paling membimbangkan adalah ekonomi.

Ketika menerima wawancara media berbahasa Cina baru-baru ini, Ka Siong berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memimpin semula Malaysia tidak merealisasikan sasaran Wawasan 2020  dan negara ini juga tidak dapat dibebaskan daripada mentaliti perkauman.

“Sudah hampir dua tahun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, tetapi Kongres Martabat Melayu dan kenyataan beliau mengenai kekayaan orang Cina adalah bertentangan dengan Wawasan 2020,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Mengenai keadaan Barisan Nasional (BN), Ka Siong berkata, tiga parti komponen menjadi lebih akrab selepas pakatan politik itu menjadi pembangkang.

“Mungkin semasa memerintah, setiap parti mempunyai ‘self esteem’, tetapi kami mempunyai kedudukan berbeza sekarang.

“Di Parlimen, pemimpin UMNO memberi kehormatan yang penuh kepada MCA,” katanya.

Beliau berkata, dengan kembali kepada keadaan asal iaitu tiga parti, parti-parti komponen BN kini boleh duduk dan berbincang pada bila-bila masa.

“Pendirian MCA adalah mempertahankan semangat Perlembagaan, melindungi kemajmukan dan berpegang kepada kesederhanaan.

“Ini adalah ‘bottom line’ MCA dan tiada siapa yang dapat melintasinya,” katanya. – MalaysiaGazette