KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyegerakan dan menemukan Indira Gandhi dengan anaknya, Prasana Diksa yang dilarikan belkas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.
Ketua Polis Negara berkata, kes itu sudah berlanjutan lebih tujuh tahun dan polis sedang berusaha untuk menyelesaikan secara happy ending untuk ibu dan bapa anak itu.
“Saya telah memberi jaminan pihak saya tidak akan membiarkan kes ini berlarutan lama lagi, jadi usaha ke arah untuk menyelesaikannya sedang berjalan.
“Tetapi untuk nak meyakinkan bagi selesaikan kes yang sudah berlarutan tujuh tahun lebih dalam sekelip mata tidak mampu saya lakukan.
“Tetapi yakinlah bahawa saya sendiri pantau kes ini secara peribadi supaya ia berakhir dengan ‘happy ending’ bagi kedua-dua ibu dan ayah,” katanya dalam sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur, Cheras pagi ini.
Beliau menyatakan demikian diminta mengulas mengenai tindakan Indira yang mahu mengemukakan dokumen saman RM100 juta ke atas Abdul Hamid Bador.
Abdul Hamid berkata, beliau akan mengkajinya dan menyerahkan perkara itu pasukan undang-undang Kementerian Dalam Negeri.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, perpisahan antara anak dan ibunya akan memberi kesan yang tidak baik.
“Yakinlah saya tak takkan biarkan kes ini, saya akan berusaha dengan cara saya, PDRM sedang berusaha selesaikannya segera.
“Saya tak nak hebohkan kepada media sebab ini isu sensitif sebab nanti timbul macam macam isu sehingga orang takut. Saya tidak akan biarkan kes ini tenggelam macam itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette