KOTA BHARU – Lengang dan kosong.
Itulah situasi itu dilihat berlaku di Stesen Bas Kota Bharu hari ini sejak awal pagi ini, dipercayai pemandu bas henti-henti sebuah syarikat melancarkan mogok hingga menyukarkan pengguna menggunakan perkhidmatan itu.
Lebih 60 bas yang sepatutnya memulakan perkhidmatan seawal pukul 6.00 pagi tidak kelihatan di stesen bas berkenaan.
Seorang pengguna, Juliana Supajam, 21, yang berasal dari Kampung Alor Lintah, Jerteh berkata dia terkejut apabila mendapat tahu tiada perkhidmatan bas hari ini.
“Saya datang ke Kota Bharu atas urusan sejak kelmarin, dan untuk pulang ke Jerteh semula hari ini saya terpaksa meminta tolong kawan untuk menghantar saya memandangkan tiada bas.
“Untuk mendapatkan khidmat kereta sewa pula ia terlalu mahal sehingga ada yang meminta bayaran sebanyak RM80 untuk perjalanan dari Kota Bharu ke Jerteh sedangkan apabila menaiki bas hanya RM6.20 sen sahaja,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Seorang lagi pengguna, Zahratunnisak Ab Rahman, 19, berkata tindakan pemandu bas mogok ini dilihat menyusahkan orang ramai sehingga menyebabkan urusan hariannya tergendala.
“Saya keluar rumah sekitar pukul 8.30 pagi ini dan dihantar oleh ayah saya untuk urusan di Kota Bharu, namun pada 12 tengah hari tadi ketika sedang menunggu bas henti-henti untuk pulang ke Pasir Tumboh, saya disapa oleh pemandu teksi memaklumkan bas tidak beroperasi hari ini.
“Tidak mahu membuang masa untuk terus menunggu, saya terus mendapatkan perkhidmatan kereta sewa. Walaupun tambangnya adalah hampir 3 kali ganda mahal daripada tambang bas namun saya tiada pilihan lain,” katanya.
Sementara itu, usaha Bernama bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada syarikat pengurusan bas gagal dan talian telefon juga tidak berjaya dihubungi.
Difahamkan ini adalah kali ke-2 mogok itu dilakukan pemandu bas syarikat yang sama selepas tindakan kali pertama pada 17 Dis lepas ekoran tidak dibayar gaji selama 2 bulan.-BERNAMA