Home Nasional Polis tunggu laporan patalogi ujian saringan kedua ADUN Dengkil

Polis tunggu laporan patalogi ujian saringan kedua ADUN Dengkil

Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Polis sedang menunggu hasil laporan saringan kedua dari pakar Patalogi dalam kes tangkapan 16 orang individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil yang disyaki mengambil dadah pada 16 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Khalil Kader Mohd berkata, tindakan lanjut akan menyusul sejurus selepas hasil keputusan laporan patalogi diperolehi polis.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh laporan patalogi berkenaan akan diterima.

“Kebiasaannnya pertama polis akan buat ujian saringan pertama, dan apabila ujian air kencing positif kita akan hantar ke patalogis untuk saringan kedua.

“Secara amnya kita kini menungu laporan keputusan patalogi dalam ujian saringan kedua itu,” katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Video Korporat dan Lagu Tema JSJN Bukit Aman di Maktab Polis Kuala Lumpur, Cheras yang dilancarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini.

Mohd Khalil juga menafikan tidak ada sebarang perkembangan terbaharu dalam siasatan kes kesemua 16 suspek yang sudah dituduh di mahkamah itu.

“Bukan nak kata tidak ada perkembangan baharu, tapi siasatan sedang berjalan, tetapi kami masih tunggu laporan keputusan patalogi.

“Sejurus selepas menerima hasilnya (laporan patalogi), kita akan bertindak berdasarkan keputusan ujian saringan kedua itu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khalil berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah mengadakan perjumpaan khas dan perbincangan dengan 116 wakil syarikat kurier pada 16 Januari lalu untuk menjalin kerjasama memerangi pengedaran dadah menggunakan khidmat kurier yang digunakan sindiket dadah di negara ini.

Katanya, hanya 74 wakil syarikat kurier yang hadir pada perjumpaan itu manakala bakinya sedang berhubung dengan polis untuk berinteraksi dalam perkara tersebut.

“Hasil rumusan perbincangan semua syarikat bersetuju untuk kerjasama dengan kita dan kami mendedahkan modus operandi terbaru yang digunakan pihak pengedar dadah menerusi kurier.

“Dalam rampasan terbaharu dadah ada juga pek pek kurier ditemui yang siap diedarkan dan kesemua wakil dinasihatkan supaya memaklumkan kepada kakitangan dan penghantar kurier masing masing tentang modus operandi ini dan terus berhati-hati mengendalikan bungkusan yang mencurigakan itu.

“Mereka juga menyatakan kesediaan tampil menyalurkan maklumat sekiranya menerima sebarang penghantaran kurier dari pihak mencurigakan.

“Kita juga menasihatkan mereka bukan paksaan, supaya beli alat bersesuaian untuk mengesan alat dadah dan mereka tidak sabar kerja dengan polis untuk mematahkan sindiket dadah ini dan perbincangan fasa kedua dan ketiga akan menyusul,” katanya.-MalaysiaGazette