KUALA LUMPUR – Berikutan cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina, writ saman yang telah dikemukakan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak belum sampai ke tangan Muhammad Yusoff Rawther.
Menurut peguam Farhash, Kumar Thangaraju, writ saman yang telah difailkan pada Jumaat lepas di pejabat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan sampai dalam masa terdekat.
Jelasnya, ketika ia difailkan oleh anak guamnya, rata-rata hakim serta kakitangan mahkamah sudah mula bercuti sempena Tahun Baharu Cina.
“Kita dipanggil hari ini juga kerana hanya berkaitan dengan urusan pentadbiran dan teknikal sahaja. Mahkamah mahu klasifikasikan saman itu kerana beberapa perubahan dalam notis tunjuk sebab. Itu sahaja,” katanya kepada pemberita yang menanti di luar kamar sejak jam 8.30 pagi.
Perubahan itu dilakukan di hadapan Timbalan Pendaftar, Rumaizah Baharom pagi ini.
Jelas Kumar lagi, tarikh pengurusan kes selanjutnya akan ditetapkan kemudian selepas notis disampaikan.
“Ianya juga akan dilakukan melalui kaedah komputer sahaja, tarikh itu akan ditentukan kelak. Kita akan umumkan pada masa itu, ketika ini saya tidak dapat berikan lebih banyak maklumat tambahan,” ujarnya.
Farhash mendakwa Yusoff mengeluarkan kenyataan fitnah dengan pengetahuan ia dilaporkan media tempatan.
Farhash yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuduhan itu bertujuan mencemarkan imej dan reputasinya sebagai ahli politik PKR kerana antaranya menggambarkannya sebagai ‘ganas, liar dan kaki pukul’.
Dalam writ itu, Farhash turut memohon perintah injuksi untuk menghalang Yusoff mengeluarkan atau terus menyiarkan kenyataan itu terhadapnya.
Farhash turut memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta kos, dengan faedah tahunan, yang jumlah ditentukan akan mahkamah.
Pada bulan lalu Farhash berkata, pihaknya menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Yusoff yang merupakan bekas penyelidik Presiden PKR.
Dalam satu kenyataan, Farhash berkata, Yusoff telah melakukan fitnah ke atas dirinya semasa satu sidang media pada 4 Disember lalu.
Dalam pada itu, Kumar tidak dapat memberikan apa-apa maklumat berhubung kos yang dituntut setakat ini kerana ia belum lagi muktamad. – MalaysiaGazette