Home Nasional Kahwin bawah umur di Kelantan: KPWKM tak campur tangan

Kahwin bawah umur di Kelantan: KPWKM tak campur tangan

KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak campur tangan dalam keputusan kerajaan Kelantan untuk mengekalkan had usia perkahwinan 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki di negeri itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bagaimanapun menasihatkan kerajaan negeri supaya mematuhi undang-undang dengan menempatkan hakim Mahkamah Tinggi Syariah sebagai pembuat keputusan terhadap sebarang permohonan pernikahan membabitkan pasangan bawah umur.

“Hakim yang ditugaskan antara lain boleh mendapatkan maklumat mengenai status ekonomi keluarga, tahap kesihatan bakal pengantin serta pengetahuan berumah tangga pasangan pengantin muda terbabit.

“Hakim juga berhak menolak permohonan jika pemohon tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Perkahwinan Bawah Umur; Antara Harapan dan Realiti di sini hari ini.

Fuziah pada majlis itu turut melancarkan Gerakan Wanita Cakna Kelantan yang dianggotai 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini berkata Kelantan mengekalkan had usia perkahwinan iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun untuk lelaki dalam usaha mengekang masalah sosial di negeri itu.- BERNAMA