Home Nasional Kerajaan akan bertindak terhadap penyebar berita palsu wabak koronavirus – PM

Kerajaan akan bertindak terhadap penyebar berita palsu wabak koronavirus – PM

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas mengenai wabak Koronavirus di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang cuba menyebarkan berita palsu dengan tujuan untuk menakut-nakutkan rakyat di negara ini berhubung penularan wabak Koronavirus.

Amaran itu dikeluarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mendapati, ada pihak cuba menyebarkan maklumat kononnya pelawat bukan Islam tidak dibenar mengunjungi masjid-masjid sebagai langkah mengelak virus berkenaan tersebar.

Katanya, kerajaan tidak pernah mengeluarkan larangan seperti itu dan perbuatan tersebut sememangnya tidak bertanggungjawab.

“Kita juga dapati ada siaran tak bertangungjawab kononnya pelawat di Malaysia bukan Islam tak boleh ke masjid. Ini bukan dasar kerajaan.

“Tidak ada tempat yang tidak boleh dilawati oleh pelancong. Ini satu perbuatan tak bertanggungjawab. Kerajaan akan ambil tindakan terhadap mereka yang cuba buat berita palsu ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dr Mahathir menegaskan, walaupun kerajaan membenarkan kebebasan bersuara namun, ia tidak bermaksud rakyat boleh bertindak dengan sesuka hati.

Ujarnya, kerajaan tidak akan bertoleransi dalam perkara tersebut kerana ia melibatkan penipuan dan penyebaran maklumat yang salah.

Semalam, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi meminta pengendali tempat-tempat tumpuan pelancongan jangan menghalang pelancong daripada melawat tempat mereka.

Beliau akan menulis surat kepada tempat-tempat tumpuan pelancong berhubung perkara itu.

Ahad lalu, Bernama melaporkan Masjid Putra ditutup untuk lawatan pengunjung bukan Islam susulan kebimbangan terhadap wabak koronavirus.

Penutupan itu berkuatkuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak dan buat masa ini masjid tersebut hanya dibuka kepada pelawat beragama Islam untuk menunaikan solat. – MalaysiaGazette

Seorang ditahan disyaki sebar berita palsu wabak 2019-nCov