SHAH ALAM- Hujan turun tanpa henti sejak awal pagi tadi akhirnya mengundang mimpi ngeri kepada penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hari ini.
Malah banjir teruk kerap kali berlaku sejak tahun lalu walaupun aduan dibuat kepada pihak berwajib namun ia seolah-olah tidak dipedulikan walaupun rata-rata rumah mereka terjejas teruk.
MalaysiaGazette yang dihubungi penduduk hari ini dimaklumkan beberapa jalan utama menghala ke kawasan perumahan mereka masih dinaiki air kerana longkang penuh dengan timbunan sampah.
Keadaan itu menjejaskan aliran trafik khususnya bagi pengguna motosikal yang bimbang keselamatan kerana keadaan jalan masih ditakungi air.
Menurut seorang penduduk, R. Chandrasekaran (gambar atas), ia bukan kali pertama banjir kilat berlaku sebaliknya sejak tahun lepas semakin kerap berlakunya sehingga menyebabkan harta benda dalam rumahnya penduduk mengalami kerosakan.
Malah beliau telah beberapa kali mengemukakan aduan berhubung masalah perparitan sehingga berlaku banjir di Sri Muda namun tidak memberikan apa-apa tindakan proaktif.
“Habis rosak barangan perabot dan elektrik dalam rumah. Jalan juga sesak, air bertakung di mana-mana. Kita terpaksa tinggalkan kerja untuk selesaikan isu ini.
“Jika ianya sekali dua tidak apa lagi tetapi jika asyik banjir setiap kali hujan, bagaimana nasib kami? Bukan sahaja menyusahkan tetapi sangat mengganggu dan membimbangkan penduduk setempat.
“Saya sudah mohon bantuan dengan MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), Ahli Majlis MBSA, wakil rakyat. Bukan sekali tapi banyak kali.
“Kali ini saya hendak minta kepada Datuk Menteri Besar, tolonglah dengar rintihan kami dan lakukan sesuatu. Sesungguhnya kami dalam keadaan terdesak dan tertekan yang amat sangat ketika ini. Tolonglah.
“Kami penduduk juga membayar cukai tanah dan cukai pintu setiap tahun. Bayaran ini adalah untuk penyelenggaraan kawasan perumahan termasuk membersih sampah sarap tetapi mengapa pula MBSA dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sehingga kini gagal menangani situasi ini?” soalnya.
Mengulas lanjut, Chandrasekaran difahamkan ketika hujan turun, air loji dari loji kumbahan yang terletak berhampiran Seksyen 25/28 turut dilepaskan ke parit dan sungai sehingga berlaku banjir kilat.
Beliau bimbang sekiranya situasi ini berlarutan dikhuatiri ia boleh menimbulkan wabak penyakit kepada penduduk kawasan Taman Sri Muda.
Dalam pada itu, Chandrasekaran yang merupakan pesara berkata, sebelum ini, banjir pertama berlaku di kawasan perumahan Taman Sri Muda adalah kira-kira 24 tahun lalu.
“Saya masih ingat pada 24 Disember 1995, seluruh kawasan perumahan Taman Sri Muda ditenggelami air setinggi lima kaki.
“Ketika itu, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) bersama MBSA dan JPS telah mengambil tindakan segera dengan memperluaskan Sungai Klang serta membersihkan sampah sarap di kawasan Taman Sri Muda.
“Kerajaan BN juga telah berjanji banjir tidak akan berlaku lagi di Taman Sri Muda tetapi kini, masalah itu berulang lagi. Selepas kerajaan baru ambil alih, mereka gagal menepati janji tersebut.
“Tiada penyelenggaraan secara berterusan dilakukan sehingga sampah sarap berlonggok di sungai dan menyebabkan banjir.
“Difahamkan, tiada pemantauan secara berkala juga dilakukan oleh MBSA dan JPS. Setiap kali apabila membuat aduan, kami hanya diberi alasan bahawa sistem pam rosak dan tiada stok diesel.
“Mereka juga mendakwa daripada dua perangkap sampah, hanya satu mesin perangkap sampah yang berfungsi manakala satu lagi sudah rosak. Mengapa begini? Adakah masalah ini tidak ada jalan penyelesaian atau tidak dapat ditangani oleh kerajaan?” soalnya.
Dalam pada itu, Chandarasekaran yang sudah menetap di Taman Sri Muda sejak 34 tahun lalu bersama-sama keluarganya juga menuntut pampasan kerana mengalami kerugian besar kerana insiden banjir.
Katanya, sejak masalah banjir berlaku pada tahun lepas sehingga kini, wakil rakyat juga gagal mengadakan perjumpaan dengan penduduk Taman Sri Muda.
“Sudah tiga kali banjir berlaku, mereka masih belum berjumpa untuk mendengar rintihan kami walaupun sudah beberapa kali memohon untuk mengadakan sesi townhall dengan mereka.
“Apakah mereka takut untuk berhadapan dengan penduduk. Ingat, kami undi anda kerana percaya dengan semua janji-janj kamu. Tolonglah Datuk Menteri Besar, kami sudah tidak tahan lagi,” tegasnya.
Dalam pada itu sehingga artikel ini ditulis, pesanan Whatsapp wartawan MalaysiaGazette berhubung masalah yang sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari namun belum menerima sebarang respon. –MalaysiaGazette
Sampah sarap berlonggok disungei? Kah..kah..kah…