KUALA LUMPUR – Seramai empat lagi individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus telah ditahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
“Keempat-empat operasi serbuan itu telah dijalankan secara berasingan oleh PDRM dan SKMM, iaitu dua di Melaka, dan satu di Kedah dan Pahang,” kata SKMM dalam kenyataan media hari ini.
Jelas SKMM, dalam operasi yang dijalankan di antara jam 11:00 pagi hingga 5:00 petang hari ini, PDRM dan SKMM menahan suspek-suspek terlibat untuk merakam keterangan mereka.
Iklan
Menurut kenyataan itu, seorang tutor sambilan berumur 49 tahun ditahan di Alor Setar pada jam 12 tengah hari kerana disyaki telah memuat naik kandungan palsu mengenai koronavirus di laman Facebook, pada 25 Januari lalu.
Turut ditahan, dua pembantu farmasi yang berumur 25 dan 30 tahun, masing-masing ditahan di Peringgit dan Merlimau, Melaka sekitar jam 4 petang bagi membantu siasatan berhubung kandungan palsu mengenai koronavirus yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Januari lalu.
Sementara seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam yang berumur 24 tahun pula ditahan pada jam 4.15 petang di Kuantan, Pahang berhubung kandungan palsu mengenai koronavirus yang dimuat naik di di laman Twitter, pada 27 Januari lalu.
Sebanyak empat unit telefon pintar, lima kad sim dan dua kad memori yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan di media sosial turut dirampas daripada keempat-empat suspek.
“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau keduaduanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
“SKMM bersama-sama PDRM akan terus mempergiat lagi usaha penguatkuasaan dalam mengawal penyebaran berita palsu demi memelihara keamanan dan ketenteraman awam,” tambah kenyataan itu.
Awal hari ini, SKMM mengumumkan penangkapan seorang lelaki di Bangi semalam manakala pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed juga memaklumkan bahawa polis membuka lima kertas siasatan terhadap warganet berhubung penyebaran berita palsu.- MalaysiaGazette