NILAI – Susulan perkembangan penularan wabak Novel Coronavirus (2019 nCoV) yang semakin membimbangkan di China, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membatalkan program pengantarabangsaan pelajar USIM ke China berkuat-kuasa serta merta sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan semula.
Keputusan ini dibuat oleh Pengurusan Universiti semalam dan ia juga melibatkan program pengantarabangsaan ke Hong Kong.
Larangan ini dikuatkuasakan demi membanteras penularan penyakit dan mengurangkan risiko kepada pelajar kerana
Universiti sentiasa memandang serius dan memberi keutamaan terhadap sebarang isu keselamatan dan kebajikan mahasiswa USIM pada setiap masa.
Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM berkata, program pengantarabangsaan utama pelajar yang akan terkesan secara langsung dengan langkah pembatalan ini adalah Program Global Islamic Student Outreach (GISO).
Berdasarkan rekod oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) USIM, sebanyak 14 program GISO telah diluluskan universiti untuk dilaksanakan bermula Januari hingga Ogos depan dengan lima daripadanya pada Februari ini.
Kumpulan pelajar yang terlibat telah dimaklumkan mengenai arahan pembatalan ini oleh BHEP dan penyelarasan sedang dibuat oleh kumpulan GISO yang terkesan.
Keputusan larangan (pembatalan) ini juga adalah selari dengan pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Coronavirus (2019 nCoV) yang menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke China khususnya ke 13 wilayah berisiko dijangkiti wabak berbahaya berkenaan.
GISO yang diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) merupakan program pengembaraan yang menjadi signature mahasiswa USIM telah dilaksanakan sejak 2011 dengan memfokuskan aspek kesukarelawanan, pemindahan ilmu dan perkongsian budaya antara masyarakat antarabangsa di negara yang mereka lawati. – MalaysiaGazette