PETALING JAYA – “Saya boleh sahkan tidak ada surat saman, memang saya boleh sahkan tidak ada terima surat itu. Kalau surat lain, saya tidak tahu.
“Surat saman atau notis kita tidak terima,” kata Nor Hizwan Ahmad yang merupakan Setiausaha Politik kepada Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution bahawa beliau telah menghantar surat saman kepada Zuraida dan memaklumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu telah menerima surat tersebut.
Awal hari ini, media melaporkan Saifuddin berkata surat tuntutan saman yang dikeluarkan terhadap Zuraida Kamaruddin, sudah dihantar ke pihak Naib Presiden parti itu.
Malah Saifuddin mendakwa terdapat cop ‘Diterima’ pada 20 Januari lalu oleh pejabat Zuraida.
Hizwan yang menafikan perkara itu berkata, pihaknya akan menyemak dengan pejabat KPKT mengenai dakwaan itu.
“Surat menuntut penjelasan ini bukan surat saman. Ia tidak ada siginifikan undang-undang. Kita kena periksa dengan pejabat, sebab dakwaan kata serah di pejabat.
“Menteri tidak ada di pejabat, dia keluar kerja di lapangan, jadi saya kena semak dengan pejabat, kalau terima kita akan ambil tindakan seterusnya selepas kita lihat kandungan surat itu sendiri,” katanya lagi.
Artikel berkaitan: Zuraida dapat surat saman daripada Saifuddin
Semalam, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata Zuraida bukan hanya menerima surat tunjuk sebab atas salah laku disiplin, malah turut menerima surat saman darinya.
Saifuddin berkata, surat tunjuk sebab dikeluarkan Lembaga Disiplin parti, manakala surat saman dikeluarkan kerana mendakwa Zuraida mengeluarkan pertuduhan fitnah terhadap dirinya. -MalaysiaGazette
Sapa yg cuba menipu ni saifudin atau zuraida atau DSN #BOSSKU