KUALA LUMPUR – Seramai 14 warga China dari Wuhan, yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin sudah dihantar pulang serta-merta pada hari yang sama.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan kerajaan yang menyekat dan melarang sementara kemasukan pelancong Wuhan ekoran penularan koronavirus yang mula membimbangkan.
“Dilaporkan pada 28 Januari, ada 14 warga China datang dari Wuhan mendarat di KLIA, tetapi kita telah keluarkan arahan mereka tak boleh mendarat dan dihantar pulang.
“Selepas arahan dikeluarkan tentang larangan masuk pelancong dari Wuhan, imigresen akan semak pasport dari mana asalnya mereka..itu cara kita semak.
“Kalau yang datang dari provinsi (wilayah) lain, itu soal kedua. Kita fokus (mereka) asal mana? Kalau asal Wuhan, imigresen terima arahan kami (kerajaan) tak benarkan mereka mendarat di sini. jadi mereka dihantar pulang.
“Mereka tak dibenarkan masuk berdasarkan larangan terbaharu dan perlu tinggalkan seberapa segera yang mungkin..setahu saya dimaklumkan oleh Imigresen semalam mengesahkan mereka (14 warga China) sudah pulang 28 Januari lalu,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, satu standard prosedur operasi memang sudah digunapakai kerajaan untuk memastikan pembolosan tak berlaku di mana-mana pintu masuk negara.
Pada 27 Januari lalu, Putrajaya menggantung sementara kemasukan rakyat China dari Wuhan yang terletak di wilayah Hubei serta bandar sekitarnya susulan penyebaran koronavirus yang merebak ke beberapa negara, termasuk Malaysia.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, penggantungan itu membabitkan semua kemudahan imigresen kepada warga China dari bandar terbabit, meliputi kemudahan tanpa visa, visa semasa ketibaan (VOA), e-visa dan visa manual.
Kenyataan itu juga turut memaklumkan kemudahan imigresen kepada mereka akan diberikan semula selepas keadaan kembali normal.
Setakat ini, sebanyak tujuh kes koronavirus telah direkodkan di negara ini. – MalaysiaGazette