Home Nasional 15 anggota TLDM di China akan dibawa balik

15 anggota TLDM di China akan dibawa balik

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menguruskan kepulangan baki 15 orang anggota tentera yang berada di China dalam masa terdekat ini ekoran penularan koronavirus yang melanda China.

Sehingga kini, tiada sebarang kes jangkitan koronavirus melibatkan warga TLDM.

Mereka berada di sana untuk memantau pemantauan projek pembinaan empat kapal di Wuhan dan latihan penyesuaian Kapal LMS Kedua (Sundang) di Qidong, Shanghai.

“Bagi tujuan pemantauan projek pembinaan kapal di Wuhan, TLDM telah menubuhkan Pasukan Projek LMS TLDM (PPLMS TLDM) sejak 8 Julai 2017 yang dianggotai seramai 12 orang terdiri daripada pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat.

“TLDM juga telah menghantar 45 orang Bakal Warga Kapal LMS Kedua (SUNDANG) sejak 5 November 2019 ke Qidong, Shanghai bagi mengikuti latihan penyesuaian dan seterusnya membawa pulang SUNDANG ke Malaysia pada pertengahan April 2020.

“Jumlah warga TLDM yang terlibat secara terus dengan projek ini adalah seramai 57 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 42 orang telah pulang ke Malaysia susulan cuti perayaan Tahun Baharu Cina sejak 17 Januari 2020,” kata Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, TLDM sentiasa melakukan pemantauan rapi sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa dan TLDM amat
prihatin terhadap kebajikan warga khususnya dari segi aspek kesihatan.

Markas Tentera Laut berharap dengan kenyataan ini tiada sebarang penyebaran maklumat yang tidak sah atau palsu disalurkan berkenaan koronaviruss yang melibatkan projek LMS sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam. – MalaysiaGazette