Home Nasional Kerajaan sedia kembalikan Akta Antiberita Tidak Benar – Muhyiddin

Kerajaan sedia kembalikan Akta Antiberita Tidak Benar – Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Akta Antiberita Tidak benar yang dimansuhkan oleh kerajaan pada tahun lalu berkemungkinan akan dinilai untuk dikuatkuasakan semula jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bergantung sepenuhnya kepada keadaan semasa bagaimana kerajaan menangani situasi tersebut.

“Kita ada undang-undang, selain akta lain juga untuk mengendalikan segala isu dan kes ini secara berkesan.

“Kita ada Penal Code (Kanun Keseksaan), yang mana polis boleh mengambil tindakan dan keduanya, sudah pasti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jadi seperti saya sebut tadi, tindakan pun sudah diambil berdasarkan apa yang terjadi,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Turut sama ialah Timbalan Menteri, Datuk Mohd Azis Jamman, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Jamil Rakon.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Menteri Undang-undang Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengkritik kerajaan yang memansuhkan akta antiberita tidak benar memandangkan situasi penyebaran berita palsu berkaitan isu koronavirus dalam sosial media hingga menyaksikan penahanan beberapa individu.

Setakat semalam seramai tujuh kertas siasatan dibuka dalam kes penyebaran berita palsu berkenaan dan empat individu ditangkap atas kesalahan melibatkan menyebarkan berita tidak benar mengenai kes tersebut di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan kata beliau, soal tidak ada undang-undang Antiberita Tidak Benar itu satu perkara yang boleh difikirkan semula oleh kerajaan.

“Ya, soal tidak ada undang-undang Akta Antiberita itu satu isu yang boleh kita (kerajaan) fikirkan semula (kembalikan).

“Bukan apa..sebabnya perkara itu wajar dibentang semula, perkara itu akan diserahkan kepada kerajaan untuk menelitinya dan diputuskan nanti,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette