KUALA LUMPUR – Seorang suspek wanita ditahan dalam operasi yang memasuki hari ketiga pada hari ini oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana disyaki menyebarkan berita palsu wabak koronavirus.
Wanita berusia 28 tahun itu ditahan SKMM dalam operasi yang dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, Kamalavacini Ramanathan dalam satu kenyataan berkata, suspek wanita itu bekerja sebagai kerani sebuah bank dan dia telah ditahan di Kuantan, Pahang sekitar jam 4 petang tadi.
“Suspek wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kandungan berita palsu (Coronavirus) yang dimuat naik di Facebook pada 27 Januari lalu.
“Turut dirampas daripada wanita itu semasa serbuan adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut di laman media sosial Facebook,” katanya.
Tambah beliau, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
“Sejak 28 Januari 2020, MCMC dan PDRM telah menahan seramai enam suspek
yang dipercayai telah menyebarkan kandungan palsu mengenai Novel Coronavirus
(2019-nCov).
“Tindakan ini akan berterusan untuk memastikan penularan berita palsu dapat dikawal dan seterusnya menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” tegas Kamalavacini dalam kenyataan tersebut.-MalaysiaGazette