Home Nasional Sabah gantung sementara semua penerbangan dari China serta merta

Sabah gantung sementara semua penerbangan dari China serta merta

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan dicarter dari China ke Sabah berkuat kuasa serta merta sehingga diberitahu kelak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata keputusan yang diambil semasa mesyuarat kabinet semalam adalah bagi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

Beliau menekankan keputusan ini adalah hanya penggantungan sementara dan operasi perniagaan dijangka kembali seperti biasa apabila keadaan kembali normal.

“Walaupun penggantungan ini akan memberi kesan kepada industri pelancongan negeri, kerajaan memandang serius kesihatan dan kebajikan warga Sabah, dan kami mahu menghindari risiko mendedahkan rakyat kepada mana-mana individu yang mungkin merupakan pembawa wabak novel koronavirus.

Penggantungan penerbangan ini merupakan satu keputusan yang amat sukar dan mungkin tidak dapat diterima dengan baik oleh peserta industri pelancongan,” kata Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Liew berkata kerajaan negeri perlu memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas, memandangkan ketidaktentuan dalam perkembangan wabak novel coronavirus.

Menurut beliau, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan memaklumkan kepada semua syarikat penerbangan mengendalikan laluan dari China ke Kota Kinabalu mengenai keputusan kerajaan itu.

“Ini bermakna semua penerbangan dari China akan dihentikan sementara dan tiada kemasukan untuk semua pelancong dari bandar raya-bandara raya China sepanjang tempoh penggantungan itu,” katanya.

Liew berkata Kerajaan China tidak membenarkan rakyatnya dari Wuhan, Xi’an, Beijing, Tianjin dan Guangzhou daripada melancong ke luar negara.

Sementara itu, Liew memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan negeri memantau dengan rapi keadaan itu.

“Kerajaan sentiasa menerima perkembangan terkini daripada Jabatan Kesihatan negeri. Sementara itu tiada lagi kes dikenal pasti di Sabah, kita semua perlu berwaspada dan mengamalkan penjagaan kebersihan kendiri yang baik.

Pada masa sama, kita perlu mendapatkan maklumat terkini yang benar daripada sumber yang boleh dipercayai dan tolong jangan sebarkan berita palsu atau yang belum disahkan,” kata beliau.

— BERNAMA