Home Nasional Azmin, Zuraida tonton teater Semarak Pertiwiku

Azmin, Zuraida tonton teater Semarak Pertiwiku

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya hadir pada Malam Gala Pementasan Teater Muzikal "Semarak Pertiwiku" anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Dua menteri kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin hadir menyaksikan teater muzikal Semarak Pertiwiku di Istana Budaya di sini malam ini.

Ketibaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu disambut para penonton lain yang hadir sama untuk memberikan sokongan kepada teater anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Semarak Pertiwiku merupakan usaha agensi itu mendekati rakyat melalui seni bagi menerapkan mesej antirasuah dalam kalangan masyarakat.

Bermula semalam, orang ramai boleh menonton teater muzikal arahan Muhammad Azri Azli secara percuma sebanyak tiga slot termasuk malam ini di Panggung Sari.

Pernah dipentaskan di Kuching, Sarawak, Semarak Pertiwiku mengekalkan pelakon asal iaitu Sherie Merlis, Anding Indrawani, Chopie Chakap, Shah Kimin dan Taufik Hanafi.

Kali ini, kelainan ditampilkan apabila pementasan itu dijayakan aktor popular, Ungku Ismail, Anas Ridzuan dan Elya.

Lebih unik, penggunaan dialek Melayu Sarawak oleh pendukung watak memberi kelainan kepada pementasan itu.

Sementara itu, teater muzikal Semarak Pertiwiku adalah projek kerjasama SPRM, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Istana Budaya.

Semarak Pertiwiku berkisar kerakusan sebahagian kontraktor mengejar habuan untuk mengumpul kekayaan. Disebabkan itu, tercetus skandal rasuah di sebalik rahsia perolehan sebuah projek mega. – MalaysiaGazette