KUALA LUMPUR – Agak lama menyepi dalam dunia hiburan, penyanyi Sufian Suhaimi rupanya telah bergelar usahawan mengikut jejak selebriti lain menceburi dalam bidang perniagaan untuk menjana pendapatan serta jaminan di masa hadapan.
Sufian kini baru sahaja mengeluarkan produk terbarunya iaitu bantal yang disasarkan kepada golongan bayi.
Ia bukan bantal biasa kerana merupakan produk yang dilengkapi zikir bersama beberapa surah lazim dan doa untuk bayi.
Produk itu dikatakan mendapat sambutan luar biasa namun ada sesetengah netizen menyifatkan tindakan Sufian seolah menunggang agama.
Malah netizen mengatakan iklan promosi berkaitan agama oleh penyanyi Di Matamu di laman sosialnya semata-mata ingin melariskan produk keluarannya.
Sementara itu, ramai yang tertanya-tanya apa hukumnya mengeluarkan produk seperti itu.
Meskipun ramai yang memberikan komen negatif namun ada yang mempertahankan produk tersebut yang kreatif untuk bayi tidur sambil memperdengarkan zikir. – MalaysiaGazette