CYBERJAYA – Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi diambil keterangan selama dua setengah jam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung postingnya di Facebook yang didakwa menimbulkan ketidaktenteraman kepada masyarakat berkaitan penularan wabak novel koronavirus.
Beliau yang hadir pukul 3.30 petang dengan ditemani peguamnya, Zamri Idrus muncul dihadapan sekumpulan wakil media yang menunggu beliau sejak pukul 2.30 petang.
Ketika ditemui, Zamri berkata, anak guamnya itu dipanggil untuk memberikan kerjasama bagi membantu SKMM menyiasat satu kertas siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 233 (1A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, anak guamnya itu turut memberikan kerjasama yang baik dalam kes tersebut tanpa berlaku sebarang perkara sebaliknya.
“Mereka (pegawai SKMM) amat baik dan Zed pun beri keterangan dengan baik,” katanya.
Ketika ditanya sama ada, terdapat sebarang bentuk peralatan diambil daripada Zed seperti kad sim atau telefon bimbit, Zamri memberitahu, ia merupakan prosedur biasa yang dilakukan oleh pihak tersebut dalam menjalankan siasatan.
Sementara itu, Zed Zaidi sempat mengingatkan pengguna media sosial yang lain agar berhati-hati ketika menggunakan laman sosial terutama semasa hendak membuat hantaran.
Sebelum ini Zed Zaidi dikecam teruk oleh netizen selepas pelakon yang popular menerusi drama Sembilu itu memuat naik satu status berita palsu berkaitan wabak koronavirus.
Zed Zaidi memuat naik fotonya memakai topeng muka, berserta satu laporan berita palsu yang memberitahu semua negara telah melarang pelancong China masuk ke negara mereka kecuali Malaysia.
Malah, Zed Zaidi turut berkata, situasi di negara ini juga sudah tidak selamat apabila orang ramai terpaksa memakai topeng masa sepanjang masa bagi mengelak dari dijangkiti influenza dan wabak koronavirus.
Perkongsian itu mendapat perhatian netizen yang mengatakan bahawa berita itu secara jelas adalah palsu dan direka sendiri menggunakan satu aplikasi.
Susulan itu, ramai netizen meminta Zed Zaidi memadam perkongsian tersebut bimbang orang lain turut mempercayai berita itu.
Tidak kurang juga ramai netizen menggesa pihak SKMM dan PDRM mengambil tindakan ke atas pelakon itu kerana menyebarkan berita palsu. – MalaysiaGazette
Mungkin doktor2 juga boleh bagi penerangan samada virus PEMBUNUH corona ini juga boleh menjangkiti anjing2, kucing, tikus, cencurut atau binatang2 yang lain? Atau menjadi agen2 pembawa virus?
Takut2 nanti ada fake news ke apa?