Home Seni Hidup Hidup di dunia ini sekadar mimpi

Hidup di dunia ini sekadar mimpi

Dua jemaah menunaikan solat sunat bagi mengambil keberkatan bulan ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2019.

REALITINYA semua makhluk Allah bernama manusia pasti bermimpi yang hasilnya hanya ada dua kemungkinan iaitu mimpi baik atau yang buruk.

Sekiranya ditanya kepada sesiapa sahaja pasti mimpi yang baik pasti amat didambarkan sementara mimpi yang buruk pastinya tidak diingini kerana menyebabkan seseorang tidak dapat lena untuk tidur selain berharap ianya tidak menjadi realiti.

Malah, ada keajaiban menurut ilmu sains, sekiranya anda berdengkur semasa tidur itu menunjukkan anda tidak bermimpi.

Realitinya, pasti kita amat mendambakan mimpi yang indah seperti berkahwin lagi terutama bagi lelaki, memiliki harta, kenderaan mewah selain rumah yang selesa namun hakikatnya apabila terjaga daripada tidur semua itu terus hilang dengan sekelip mata.

Namun, hakikatnya sahabat-sahabat, kehidupan di dunia ini sebenarnya secara timbal balik ialah seperti mimpi.

Kita amat mendambakan pangkat, harta, kedudukan dan kebahagian yang tidak menemui penghujungnya. Secara fikiran normal, jika ditanyakan kepada sesiapa sahaja siapa yang tidak ingin kekayaan, memiliki rumah yang besar dan selesa, mempunyai ramai orang gaji dengan semua perkara disediakan oleh mereka sebaik sahaja bangun dari tidur sehingga melelapkan mata.

Malah, ingin melancong ke luar negara setiap bulan malah setiap hari, wang simpanan di bank mampu menampung hidup sehingga ke cicit, membeli barangan yang dihajati tanpa ada batasnya tetapi hakikatnya di dunia ini 90 peratus kekayaan dimiliki hanya 10 peratus individu sementara kita yang 90 peratus ini mengejar 10 peratus kekayaan ada di dunia ini.

Faktor desakan itu menyebabkan kita berkejar-kejaran dari awal pagi sehingga lewat malam demi memenuhi tuntutan pekerjaan.

Selain itu, ada yang perlu melakukan dua pekerjaan selain mengusahakan perniagaan secara talian hanya bagi memastikan keperluan semasa dapat dipenuhi dengan sempurna.

Iktibar dari seorang pendakwah terkenal iaitu Ustaz Shamsuri Ahmad yang menceritakan kisah kemuliaan sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Hurairah RA yang telah meriwayatkan 5,374 hadis yang kekal hidup sederhana walaupun menjadi menantu kepada hartawan yang kaya selain pernah dilantik menjadi Gabenor di Bahrain dan Madinah semasa Daulah Islam yang dipimpin oleh Khalifah Umar al-Khattab dan Khalifah Muawiyah Abu Sufyan.

Ternyata kemewahan dan kekayaan itu tidak mengubah kehidupan sahabat Rasulullah SAW yang mendapat jolokan bapa anak kucing itu untuk hidup yang sederhana dengan akhlak yang mulia walaupun sebelum itu pernah hidup miskin hanya bekerja mengambil upah menjaga kebun.

Semasa hidupnya, Abu Hurairah yang soleh, warak dan amanah merupakan seorang yang kuat bersedekah, menginfakkan harta untuk perkembangan Islam selain mengadakan kenduri untuk menjamu orang lain makan.

Ternyata kemewahan di dunia tidak menjadikan Abu Hurairah alpa dengan bekalannya untuk Hari Akhirat yang kekal abadi.

Semoga kita sama-sama mendapat iktibar daripada kisah Sahabat Rasulullah SAW dan istiqamah menjalani kehidupan yang mulia dengan melaksanakan apa yang diperintahkan Allah dan Rasulnya dengan meninggalkan apa yang dilarang demi kebahagiaan dunia dan akhirat.

MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Penulis merupakan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis