Home Utama Perkeso buru majikan kepada 800,000 pekerja asing tak berdaftar

Perkeso buru majikan kepada 800,000 pekerja asing tak berdaftar

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majikan kepada hampir 800,000 pekerja asing dalam negara kini menjadi tumpuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam Ops Kesan kali ke-12 yang akan bermula 2 Mac ini.

Bagaimanapun menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, majikan yang mendaftarkan pekerja mereka dalam tempoh Program Pemutihan 1 Febuari ini akan dikecualikan daripada tindakan kompaun dan pendakwaan.

Pengecualian itu dibuat walaupun telah melewati tempoh pendaftaran yang ditetapkan termasuklah tidak dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

Tegasnya, apabila tamat Program Pemutihan pada 29 Febuari nanti, Perkeso tidak akan bertoleransi kepada pihak majikan yang tidak mendaftar dan mencarum kepada pekerjanya sebaliknya akan mengheret mereka ke pengadilan.

Ini kerana mereka melanggar Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969  termasuk Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017  (Akta 800) ke mahkamah selain mengenakan kompaun.

“Daripada 2.1 juta pekera asing yang berada dalam negara ini sehingga kini hanya 1.3 juta sahaja yang baru mendaftar jadi hampir 800,00 lagi pekerja asing yang bekerja di negara ini di bawah pelbagai majikan masih belum tampil untuk mendaftar pekerja mereka.

“Jadi, dalam Ops Kesan tahun ini tumpuan khas akan diberi kepada majikan yang menggaji pekerja asing dan masih belum mendaftar dan masih belum membuat caruman,” katanya ketika sidang media di Menara Perkeso hari ini.

Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2019, sebanyak 672,728 majikan aktif telah berdaftar dengan Perkeso melibatkan 8.14 juta pekerja kini telah dapat perlindungan.

Tambah Mohammed Azman, majikan yang tidak mendaftarkan pekerja daripada sektor perkhidmatan seperti memiliki restoran, kantin dan menyediakan pengawal keselamatan, majoriti mereka sering memberi alasan tidak tahu tentang kepentingan dan kewajipan untuk mencarum kepada pekerja dengan Perkeso.

Lebih buruk, ada majikan yang mengambil kesempatan terhadap pekerja yang tidak mempunyai pengetahuan tentang perlindungan yang sepatutnya diberikan daripada caruman majikan kerana tiada pengalaman bekerja sebelum ini, katanya.

Majikan juga katanya, perlu sedar tanggungjawab dan tidak ada pengecualian untuk mendaftarkan pekerja meskipun yang diupah secara sambilan atau percubaan kerana kesemua mereka  terdedah kepada risiko keselamatan sewaktu berkhidmat di sesebuah organisasi.

“Kadang-kadang pekerja tidak tahu pun tentang keperluan ini mungkin ada antara mereka baru pertama kali bekerja.

“Alasan mereka, tidak tahu ini wajib, majikan majikan baharu, berniaga kecil-kecil sahaja ia selalu jawapan diberikan adalah tidak tahu. Ada yang mengatakan pekerja saya sambilan sahaja, cuma beberapa jam  tidak kiralah pekerja kontrak, sambilan, berstatus belum tetap mesti diberikan perlindungan di bawah Perkeso.

“Kalau pekerja masih dalam tempoh percubaan pun tidak bermaksud tidak terdedah dengan risiko,” katanya lagi.

Mengulas mengenai peningkatan keluaran kompaun pada tahun 2019 berbanding tahun 2018 iaitu masing-masing 3,202 dan 2,126, Mohammed Azman berharap kali ini jumlah tindakan dan denda akan semakin turun dari masa ke semasa.

Justeru jelasnya Perkeso akan terus membuat perjumpaan dengan pihak berkepentingan memberi penjelasan tentang kepentingan majikan membuat caruman dan berdaftar di bawah pertubuhan keselamatan pekerja itu.

“Saya berharap dengan Ops Kesan ke-12 ini semakin turun kompaun yang dikeluarkan saya harap Ops Kesan ke-13 sudah tidak ada kompaun yang dikeluarkan.

“Sebab itu kita buat pendekatan dengan pihak berkepentingan kita cuba memberikan maklumat tentang kewajipan tentang berdaftar dan mencarum jadi tidak perlulah kita buat Ops Kesan dan sebagainya semua majikan di Malaysia tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 2,533 pendakwaan terhadap majikan dibuat pada tahun lalu, menyaksikan peningkatan ketara berbanding tahun 2018 iaitu 1,328.

Daripada 2,533 hanya 711 kes pendakwaan di mahkamah yang telah selesai pada tahun 2019.- MalaysiaGazette