Home Ekonomi PLUS: Rakyat, kerajaan jimat RM1.1 bilion tahun ini

PLUS: Rakyat, kerajaan jimat RM1.1 bilion tahun ini

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Susulan penstrukturan semula konsesi PLUS Highways Bhd. (PLUS) kerajaan dan pengguna dapat menikmati penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung pada tahun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penjimatan tersebut adalah termasuk RM500 juta daripada penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus dan RM600 juta lagi adalah daripada penjimatan bayaran pampasan kerajaan kerana membekukan kenaikan kadar tol.

Secara keseluruhan katanya, kerajaan dapat berjimat sebanyak RM42 bilion sehingga tempoh konsesi baharu tamat pada tahun 2058.

Penjimatan itu menurut Guan Eng akan disalurkan kepada program-program kebajikan dan pembangunan ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

“Dengan penurunan kadar tol ini, Kerajaan telah mengambil suatu langkah yang besar ke arah memenuhi janji untuk menghapuskan tol secara berperingkat dengan merunding semula perjanjian konsesi lebuh raya, seperti dinyatakan Manifesto Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bermula tengah malam ini, kadar tol diturunkan sebanyak 18 peratus untuk kenderaan penumpang, bas dan teksi di kesemua lebuh raya utara selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Kadar tol untuk kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat tempoh konsesi.

Seperti yang diumumkan oleh Guan Eng dalam ucapan Belanjawan 2020, kadar tol untuk kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulau Pinang juga akan disamakan dengan kadar tol baharu Jambatan Pertama Pulau Pinang selepas diskaun 18 peratus bermula 1 Februari 2020.- MalaysiaGazette