KUALA LUMPUR- Sime Darby Plantation Bhd. (SDP) mengumumkan telah berjaya menyelesaikan pembiayaan semula kemudahan kreditnya yang bernilai hampir RM3.9 bilion dengan terma-terma yang lebih baik.
Kemudahan pembiayaan yang diperoleh oleh kumpulan tersebut pada Disember 2019 itu merangkumi pinjaman dalam mata wang asing sebanyak AS$830 juta dan pinjaman dalam ringgit sebanyak RM500 juta.
Sejajar dengan aspirasi kumpulan untuk membiayai semula kemudahan kredit sedia ada dengan pembiayaan Islam, hampir 81 peratus daripada pembiayaan berkenaan diperolehi melalui instrumen patuh syariah.
Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, pembiayaan semula itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat berkenaan untuk mengurus dan mengoptimumkan profil hutang secara proaktif.
Ia juga merendahkan risiko kecairan semasa.
“Pembiayaan semula ini bukan sahaja mengurangkan kos hutang kepada kami malah turut menambah baik tempoh matang hutang dan meningkatkan kebolehlenturan kewangan SDP dalam menguruskan operasi dan kewangan.
“Sekarang, kami berada di kedudukan yang lebih baik dalam meningkatkan keberkesanan operasi dan mengurangkan hutang dan dalam masa yang sama akan terus memberi fokus terhadap rancangan menjana perolehan daripada aset-aset,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pembiayaan semula itu dilaksanakan untuk menyemak semula portfolio hutang kumpulan dan mengimbangan profil kematangan hutangnya sejajar dengan jangkaan aliran tunai dan dalam masa yang sama mengambil kesempatan daripada kadar pasaran yang menarik ketika ini.
Urusniaga ini melibatkan hutang-hutang sedia ada yang perlu dibayar semula pada Jun 2020, menstruktur semula beberapa kemudahan kredit sedia ada dengan harga yang lebih baik serta menukar beberapa kemudahan modal kerja kepada pinjaman bertempoh.
Pembiayaan semula hutang ini tidak akan menyebabkan peningkatan dalam gearan kumpulan.
Setakat 30 September 2019 hutang kumpulan berjumlah hampir RM7.9 bilion (tidak termasuk Sukuk Kekal bernilai RM2.2 bilion).- MalaysiaGazette