Home Nasional Jabatan Imigresen gempur restoran saji GRO, rumah urut tawar seks

Jabatan Imigresen gempur restoran saji GRO, rumah urut tawar seks

Sebahagian daripada warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam dua sebuan berasingan yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 37 warga asing dan warga warga tempatan dalam serbuan ke atas sebuah restoran ‘kedai kopi korek’ dan sebuah rumah urut ‘happy ending massage’ di sekitar Kuala Lumpur pada malam 31 Januari dan awal pagi 1 hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi fasa pertama telah dijalankan pada jam 11.30 malam di sebuah restoran ‘kedai kopi korek’ yang terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Katanya, premis tersebut menawarkan perkhidmatan pelayan pelanggan (GRO) dan aktiviti kalungan bunga sebagai taktik tarikan pelanggan untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Seramai 88 orang telah diperiksa dan hasilnya JIM telah berjaya menahan seramai 26 orang wanita pelbagai warganegara yang terdiri daripada 19 orang wanita warganegara China, empat orang wanita Indonesia, dua orang wanita Myanmar dan seorang wanita Thailand yang bekerja sebagai GRO, penari, penyanyi dan juga pekerja premis tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Khairul, wanita warganegara asing itu akan meneman pelanggan semasa minum dan makan di restoran tersebut dan pada masa yang sama mereka juga akan membuat persembahan di pentas dan pelanggan-pelanggan akan didekati oleh ‘Mummy’ untuk memberikan kalung bunga sebagai ‘tips’.

Jelasnya, kalung bunga yang berharga dari RM50 hingga RM100 akan dihadiahkan oleh pelanggan kepada wanita yang mereka suka.

Selain itu, katanya, seramai lima orang lelaki warga asing turut ditahan. Mereka terdiri daripada tiga orang lelaki Bangladesh dan dua lelaki Myanmar yang merupakan pekerja restoran tersebut.

Sementara itu, menurut Khairul, operasi fasa seterusnya dijalankan pada jam 2.30 pagi di sebuah rumah urut yang menawarkan pakej penuh iaitu pakej seks di kawasan Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Premis ini menawarkan perkhidmatan seks dengan harga RM178 hingga RM188 bagi tempoh masa langganan selama 45 minit,” katanya.

Jelas beliau, terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita warganegara asing semasa pemeriksaan dijalankan tetapi cubaan tersebut telah digagalkan oleh anggota serbuan yang membuat kepungan awal di sekitar premis.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya berjaya menahan enam orang wanita warganegara asing yang terdiri daripada lima orang wanita Vietnam dan seorang wanita Indonesia.

Tambah beliau, turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan penyelia, juruwang dan juga penjaga bagi wanita-wanita warganegara asing di premis tersebut.

Sebanyak 14 notis untuk hadir memberi keterangan (Saman Saksi) dikeluarkan kepada pekerja dan pelanggan di kedua-dua lokasi bagi membantu siasatan, katanya.

Menurut Khairul, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan akan di tempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan. – MalaysiaGazette