Home Dunia China bina hospital segera tangani koronavirus

China bina hospital segera tangani koronavirus

Hospital Huoshenshan yang menempatkan 1,000 katil dibina di bandar Wuhan untuk menangani koronavirus. foto BBC

BEIJING – China berjaya membina sebuah hospital baru di Wuhan dalam tempoh lapan hari dalam usaha menangani peningkatan jumlah kes jangkitan koronavirus.

Hospital Husoshenshan itu mampu menempatkan 1,000 katil.

China kini sedang bergelut dengan wabak koronavirus yang telah dijangkiti oleh 14,000 orang dan mengorbankan lebih 300 nyawa.

Hospital berkenaan akan dibuka pada hari ini.

Media China melaporkan kira-kira 1,400 kakitangan perubatan tentera dengan beberapa orang yang berpengalaman dalam menangani virus akan tiba di hospital ini.

Sebuah lagi hospital seumpama ini yang dibina di Leishenshan dijangka siap pada Rabu ini.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Jiao Yahui berkata, dengan dua hospital baru itu, bandar terbabit akan memiliki lebih daripada 10,000 katil dan ia cukup untuk menangani kes-kes koronavirus.

Setakat lewat petang Sabtu lalu sejumlah 304 kes kematian dilaporkan akibat wabak berkenaan yang belum dikenalpasti puncanya.

Manakala 2,590 kes jangkitan disahkan pada tempoh yang sama, menjadikan jumlah setakat ini meningkat kepada 14,380.

Dalam pada itu, terdapat satu kes kematian dilaporkan di luar China apabila seorang lelaki dari Wuhan meninggal dunia di Filipina semalam.

Terdapat lebih 150 kes disahkan virus koronavirus di luar China.

Kebanyakan negara sudah pun menyekat kemasukan pelancong dari China manakala warga negara masing-masing yang dibawa balik telah dikuarantinkan. – MalaysiaGazette