KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia memerlukan kestabilan dan hala tuju yang jelas dalam menghadapi ketidakstabilan dan kelembapan ekonomi global.
Ini kerana sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, ketidaktentuan polisi akibat daripada kemelut politik negara telah mempengaruhi ekonomi negara sekaligus membayangi prestasi pasaran saham Malaysia.
Pakar ekonomi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, sejak dua tahun lalu sehingga 28 Januari lalu pasaran saham Malaysia jatuh 17.87% atau 337.28 mata berbanding pencapaian tertinggi pada 19 April, 2018 iaitu apabila indeks FBMKLCI mencecah 1,887.75.
Menurutnya, pretasi pasaran saham adalah antara petunjuk penting prestasi ekonomi kerana ia terkandung maklumat mengenai masa akan datang.
Umumnya, apabila prestasi ekonomi di’jangka’ lebih baik, harga saham akan meningkat dan sebaliknya sekiranya ekonomi dijangka lembap,” katanya sambil menerangkan ia merupakan satu daripada tujuh ukuran yang membentuk indikator utama yang diukur oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Namun, tambah Noor Azlan, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia terdedah kepada prestasi ekonomi global seperti kelembapan ekonomi global, perang dagang Amerika Syarikat-China, ketegangan geopolitik rantau Asia Timur, Brexit, dan terkini wabak koronavirus.
Disebabkan itu, Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia meramalkan prestasi ekonomi global lembap kerana tiada ‘petanda’ pemulihan kukuh dan semua ini menjejaskan prestasi ekonomi Malaysia.
“Persoalan yang perlu dijawab ialah di samping prestasi ekonomi global yang di luar kawalan kita, adakah prestasi pasaran saham ini juga turut membayangkan prestasi ekonomi dalam negara (domestik)?” soalnya.
Ia mengambil kira prestasi Singapura, negara yang paling terdedah dengan ekonomi global.
Katanya, melihat kepada prestasi dalam tempoh yang sama, pasaran saham Singapura juga jatuh namun kejatuhannya sebanyak 10.56%.
Manakala Indonesia, sebuah negara yang ekonomi domestik paling besar di Asia Tenggara pula menyaksikan kejatuhan pasaran 8.64% dalam tempoh yang sama.
“Malaysia yang paling terjejas. Mengapa?
“Ini menandakan bahawa setelah faktor global diambil kira, ada faktor-faktor domestik yang lebih khusus yang menjejaskan pasaran saham Malaysia.
“Ketidaktentuan polisi akibat dari kemelut politik Malaysia sejak PRU14 yang lalu pastinya antara faktor yang mempengaruhi prestasi ekonomi negara yang dibayangi oleh prestasi pasaran saham Malaysia,” ujarnya.
Tambah Noor Azlan, pelabur memerlukan ketentuan polisi dan arah tuju ekonomi yang jelas dan komitmen yang tinggi dari kerajaan, industri dan masyarakat.
Katanya, negara memerlukan kestabilan dan hala tuju yang jelas, terutama dalam menghadapi ketidakstabilan dan kelembapan ekonomi global.
“Ini ehwal ekonomi negara, bukan ehwal politik. Ekonomi tidak mengenal siapa. Sekali melanda, semua kena,” menurut beliau. – MalaysiaGazette