LONDON – Polis menembak mati seorang lelaki yang menikam dua orang di sebuah jalan raya yang sibuk di selatan London, kejadian yang disifatkan sebagai pengganas.
Polis dalam satu kenyataan berkata, peranti tiruan dijumpai di bahagian badan lelaki yang dibunuh itu.
Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki dirawat kerana kecederaan yang mengancam nyawa selepas ditikam manakala seorang wanita mengalami luka yang kurang serius.
Seorang wanita lain turut mengalami luka akibat terkena kaca semasa seorang anggota polis melepaskan tembakan, kata kenyataan Polis Metropolitan London.
Beberapa saksi memaklumkan suspek bersenjatakan parang dan memakai kancing perak di dadanya.
“Insiden ini diisytiharkan sebagai kejadian pengganas dan kami percaya ia berkaitan dengan Islam,” kata Lucy D’Orsi, Timbalan Pesuruhjaya Bantuan di Polis Metropolitan.
Polis berkata, keadaan di kawasan itu terkawal.
Sky News melaporkan lelaki yang ditembak mati itu di bawah pengawasan polis dan telah dibebaskan dari penjara pada bulan ini.
“Siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan fakta penuh apa yang berlaku,” kata Boris Johnson, Perdana Menteri Britain dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kerajaan akan mengumumkan perubahan dalam sistem mengendalikan individu yang terlibat dalam kesalahan pengganas.
Kali terakhir insiden seperti itu di London berlaku pada bulan November apabila polis menembak mati lelaki memakai jaket menikam dua individu sehingga mati dan mencederakan tiga yang lain sebelum ditangkap. – MalaysiaGazette