Home Sukan PDRM FA akur dipotong 3 mata

PDRM FA akur dipotong 3 mata

Ketua JSPT Kuala Lumpur merangkap Setiausaha Persatuan Bolasepak PDRM, Asisten Komisioner Zulkefly Yahyabercakap pada Majlis Menandatangani Penajaan Syarikat Telco RedONE kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Latihan Polis PULAPOL, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) akur dengan hukuman pemotongan tiga mata dalam Liga Super Malaysia 2020 akibat kegagalan menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Setiausahanya, Asisten Komisioner Dzulkefly Yahya berkata, tindakan yang diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu tidak akan melemahkan semangat pasukan itu mengharungi kancah Liga Super musim ini.

Disamping mencari langkah penyelesaian secara menyeluruh dan tetap supaya tidak menjejaskan aktiviti prestasi semasa pasukan.

“Kami akur dengan tindakan FAM dan ianya tidak melemahkan semangat kita,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan FAM yang memotong tiga mata yang disyorkan kepada Malaysian Football League (MFL).

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalinggam, surat bertarikh 15 Januari lalu memberikan tempoh sehingga 28 Februari ini kepada tiga pasukan iaitu Melaka, PDRM dan Kelantan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Kelantan dan Melaka berjaya menyelesaikan masalah itu pada tempoh akhir 30 Januari lalu kecuali PDRM sehingga dipotong tiga mata.

PDRM FA juga diberi masa tambahan selama empat minggu lagi, sehingga 28 Februari ini, untuk menyelesaikan masalah itu atau pasukan itu sekali lagi berdepan pemotongan enam mata lagi.

Mengulas lanjut mengenai masalah itu, Dzulkefly menjelaskan,  pengurusan PDRM FA telah mengadakan rundingan dengan bekas jurulatih dan pemain pasukan itu.

“Hampir 100 peratus mereka bersetuju dengan cadangan kita mengenai kaedah pembayaran tunggakan gaji secara berfasa.

“Namun ada beberapa pemain import enggan menerima cadangan kami menyebabkan kami gagal menyelesaikan masalah seperti mana tempoh yang ditetapkan FAM,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan akan menyelesaikan masalah tersebut untuk mengelak pemotongan enam mata, beliau berkata, usaha itu masih dilakukan.

“Kita yang risau adalah FAM nak 100 peratus selesai tetapi pemain import yang enggan bersetuju sekarang ini memberi masalah kepada kami ke arah penyelesaian muktamad.

“Maka sekarang ini kami akan mengadakan mesyuarat tergempar dengan barisan exco-exco pasukan bolasepak dalam masa terdekat untuk duduk berbincang mengenai tindakan dan perkembangan selanjutnya dalam menangani isu serius ini segera dan tetap,” katanya. – MalaysiaGazette