Home Utama Sudah 9 tahun berlalu, lupakan PPSMI

Sudah 9 tahun berlalu, lupakan PPSMI

Prof. Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak wajar dibangkitkan semula kerana ia sudah diselesaikan sembilan tahun lalu.

Ketika itu Kementerian Pendidikan Malaysia dan rakyat bersetuju kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Melayu.

Lantaran itu, status quo bagi matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu perlu dihormati oleh semua pihak memandangkan keputusannya telah mengambilkira suara rakyat pada tahun 2011.

Lagipun, ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris juga tidak disisihkan apabila Dual Language Programme (DLP) atau program dua bahasa diperkenalkan pada tahun 2016.

Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, semua pihak perlulah move on dan menghormati suara rakyat terbanyak dalam isu PPSMI.

“Jauhilah sentimen angau atau teringat perkara-perkara lama dan mahu mengembalikannya semula. Move on.

“”Kita sudah membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI, keputusan yang dibuat secara bersama oleh kerajaan dan rakyat,’ katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) dan Felo Utama Bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia itu bimbang sistem pendidikan negara akan menjadi kembali tidak stabil jika PPSMI diperkenalkan semula.

“Ia akan memberi kesan kepada para pelajar Malaysia apabila menduduki peperiksaan antarabangsa dan keputusannya merudum. Inilah yang berlaku dahulu.

“Tetapi apabila PPSMI dimansuhkan, pelajar-pelajar kita berjaya dalam peperiksaan antarabangsa kerana mereka dapat menguasai Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, pengenalan PPSMI juga akan menambah kerisauan ibu bapa tentang penguasaan anak-anak mereka dalam dua subjek tersebut kerana bukan semua pelajar boleh menguasai bahasa kedua itu dengan baik sekali.

“Pada pandangan saya, perkara 10 tahun lalu tidak perlu dikenang. Keputusan yang meredakan situasi sudah dicapai. Mereka yang enggan PPSMI dan mahu PPSMI, semuanya sudah dapat apa yang mereka mahukan.

“Apa yang harus kita buat adalah pandang ke depan,” katanya.

Sebagai seorang pendidik, beliau menyifatkan dakwaan sesetengah pihak bahawa PPSMI akan membolehkan seseorang menguasai subjek itu semasa di peringkat pengajian tinggi adalah mitos semata-mata.

“Tanggapan itu bukan selalunya benar.

“Kita lihat sahaja Jepun, Korea dan China. Negara-negara ini tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik sebaliknya menggunakan bahasa sendiri tetapi mereka maju.

“Korea maju melalui teknologi telefon bimbit jenama Samsung. China pula menguasai ekonomi dunia, malah Jepun juga sebuah negara yang berorientasi teknologi tinggi.

“Negara-negara ini maju melalui peradapan bahasa sendiri. Ini menunjukkan kita tidak perlu menggunakan bahasa orang lain untuk maju,” hujah Teo.

Tambah beliau lagi, bahasa Melayu juga tidak kurang hebatnya kerana ia sudah dibangunkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka daripada bahasa vernakular kepada bahasa saintifik moden.

“Yang penting sekarang kita perlu yakin dengan kemampuan anak bangsa sendiri dalam membangunkan negara dengan acuan sendiri,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.